Lebih 1,000 kadet tentera dan polis Indonesia bantu pemulihan kawasan bencana Aceh

FOTO AFP

JAKARTA, 17 Januari – Seramai 1,456 kadet tentera dan polis daripada pelbagai institusi pendidikan pertahanan dan keselamatan Indonesia dikerahkan ke beberapa kawasan terjejas di Aceh Tamiang, Sumatera bagi membantu usaha pemulihan pasca bencana menerusi program Latihan Integrasi Taruna Wreda Nusantara XLVI 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadet dari pelbagai institusi tentera dan polis membantu pemulihan pasca bencana di Aceh Tamiang.
  • Aktiviti termasuk pemulihan trauma, pembersihan perumahan, dan pembaikan kemudahan awam serta sekolah.
  • Penekanan psikososial diberikan terutama kepada kanak-kanak dan penduduk yang mengalami tekanan emosi.
  • Misi bertujuan mempercepat pemulihan sosial ekonomi dan memperkukuh kerjasama antara tentera, polis dan rakyat.

Ketua Penerangan Awam Polis Indonesia Brig Jen Polis Trunoyudo Wisnu Andiko berkata mereka termasuk daripada Akademi Kepolisian (Akpol), Akademi Tentera Darat (Akmil), Akademi Tentera Laut (AAL), Akademi Tentera Udara (AAU), Politeknik Siber dan Sandi Negara (Poltek SSN) serta Kadet Universiti Pertahanan (Unhan).

Beliau berkata penyertaan para kadet itu mencerminkan komitmen berterusan institusi keselamatan negara dalam membantu masyarakat bangkit daripada kesan bencana.

“Pengerahan kadet ini merupakan manifestasi kehadiran negara di tengah masyarakat, dengan para kadet turun secara langsung membantu usaha pemulihan serta meringankan beban penduduk terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Trunoyudo berkata sepanjang tempoh penugasan, para kadet akan terlibat dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan termasuk program pemulihan trauma, pembersihan kawasan perumahan, pembaikan rumah ibadat, sekolah, kemudahan awam serta infrastruktur keselamatan yang rosak akibat bencana banjir.

“Selain pemulihan fizikal, aspek psikososial turut diberi penekanan, khususnya kepada kanak-kanak dan penduduk yang mengalami tekanan emosi akibat bencana,” katanya.

Beliau berkata kesemua kadet berlepas ke kawasan penugasan menggunakan tiga Kapal Perang Indonesia (KRI) iaitu KRI Banda Aceh-593, KRI Teluk Calang-524 dan KRI dr. Radjiman Wedyodiningrat-992, daripada Pelabuhan Belawan sebelum meneruskan perjalanan ke Aceh Tamiang.

Beliau berkata misi itu yang dijadual berlangsung sehingga 17 Feb ini diharapkan dapat mempercepatkan pemulihan sosial serta ekonomi masyarakat di kawasan terjejas, selain memperkukuh kerjasama dan solidariti antara angkatan tentera, polis dan rakyat.- BERNAMA