
SYDNEY, 16 Jan — Syarikat media sosial telah menyahaktifkan hampir lima juta akaun milik remaja Australia dalam tempoh sebulan selepas larangan penggunaan platform itu oleh individu bawah 16 tahun berkuat kuasa, menurut pengawal selia internet negara itu pada Jumaat.
- Hampir 4.7 juta akaun remaja Australia dinyahaktif selepas larangan bawah 16 tahun dilaksanakan.
- Langkah ini dipatuhi oleh platform untuk elak denda sehingga AS$33 juta.
- Pelaksanaan Australia diperhatikan oleh pengawal selia global; beberapa negara sedang mempertimbangkan undang-undang serupa.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, kira-kira 4.7 juta akaun milik pengguna bawah umur telah dikeluarkan bagi mematuhi undang-undang yang mula dilaksanakan pada 10 Disember lalu.
Pelaksanaan larangan bersejarah itu kini diperhatikan secara rapat oleh pengawal selia di seluruh dunia.
Perancis dan Indonesia dilaporkan akan memperkenalkan undang-undang serupa, manakala beberapa negara Eropah serta negeri-negeri di Amerika Syarikat turut membincangkan langkah yang sama.
Data rasmi kerajaan itu merupakan angka pematuhan pertama sejak undang-undang berkenaan dikuatkuasakan, dan menunjukkan platform digital mengambil langkah serius bagi mengelakkan denda sehingga AS$33 juta sekiranya gagal mematuhi peraturan tersebut.
Undang-undang itu bagaimanapun tidak mengenakan tindakan terhadap kanak-kanak atau ibu bapa mereka.
Jumlah akaun yang dinyahaktifkan jauh melebihi anggaran awal, bersamaan lebih dua akaun bagi setiap remaja Australia berusia antara 10 hingga 16 tahun berdasarkan data populasi.
Meta sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya telah memadam kira-kira 550,000 akaun bawah umur di Instagram, Facebook dan Threads.
Semua syarikat yang terlibat dalam pelaksanaan awal larangan itu turut mengesahkan komitmen mereka untuk mematuhi undang-undang berkenaan. – REUTERS