Lahore protes susulan kenaikan harga minyak, kos sara hidup

Penduduk Lahore protes kenaikan harga bahan api, bimbang kos hidup/Foto VIORY

PAKISTAN, 4 April – Penduduk di Lahore turun ke jalanan membantah kenaikan harga bahan api yang dipercayai membebankan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakyat dakwa kerajaan guna kenaikan harga minyak global sebagai alasan untuk menaikkan harga bahan api secara keterlaluan.
  • Kenaikan petrol dan diesel dijangka membebankan kos sara hidup, menjejaskan harga barangan dan golongan miskin.
  • Kerajaan arahkan tambang tidak dinaikkan, menanggung subsidi kira-kira enam bilion rupee sehingga akhir Jun.

Protes tercetus susulan pengumuman kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel akibat lonjakan harga minyak global.

Mereka mendakwa kerajaan menggunakan situasi antarabangsa sebagai alasan untuk menaikkan harga bahan api secara keterlaluan.

“Kerajaan gunakan situasi global untuk jatuhkan ‘bom petrol’ kepada kami. Harga antarabangsa tidak naik setinggi ini,” kata seorang penunjuk perasaan.

Peserta protes turut memberi amaran kenaikan harga petrol akan memberi kesan rantaian kepada kos barangan lain.

“Semua berkait dengan petrol… semua akan jadi mahal dan golongan miskin yang akan tanggung,” katanya.

Menteri Petroleum Pakistan, Ali Pervez Malik, sebelum ini mengumumkan kenaikan harga petrol kepada 458.40 rupee (RM7.80) seliter dan diesel kepada 520.35 rupee (RM8.90).

Kenaikan itu berpunca daripada lonjakan harga minyak mentah global, khususnya di pasaran Dubai dan Oman yang menjadi sumber utama import tenaga Pakistan.

Seorang lagi penunjuk perasaan berkata bantahan diadakan bagi mendesak kerajaan tidak tunduk kepada tekanan luar.

“Kami berhimpun untuk beritahu kerajaan mereka tidak boleh naikkan harga hanya kerana perang atau tekanan IMF,” katanya.

Kesan kenaikan turut dirasai sektor pengangkutan, apabila syarikat kereta api negara memberi amaran kemungkinan kenaikan tambang sehingga 30 peratus akibat peningkatan kos operasi.

Namun, Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengarahkan supaya tambang tidak dinaikkan, dengan kerajaan menanggung beban tambahan kira-kira enam bilion rupee sehingga akhir Jun.

Kenaikan harga tenaga ini dikaitkan dengan gangguan penghantaran minyak global melalui Selat Hormuz, susulan ketegangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran sejak 28 Februari lalu.

Situasi itu terus memberi tekanan kepada negara bergantung import seperti Pakistan, dengan kos sara hidup dijangka terus meningkat. – VIORY