
KIEV, 8 April – Ukraine mempercepat langkah-langkah ekonomi bagi memastikan keperluan pertahanan dan sosial negara itu dapat dipenuhi susulan konflik di Asia Barat.
- Zelenskiy: Ukraine mempunyai keselamatan tenaga yang kukuh dan perlu memastikan rantaian bekalan selamat dalam suasana antarabangsa tidak menentu.
- Ketidakstabilan sekitar Iran menggugat pasaran global dan boleh memberi kesan ekonomi signifikan menurut beliau.
- Ukraine memastikan bekalan bahan api mencukupi melalui import bulan Mac dan April dengan syarikat milik kerajaan dan swasta.
- Kerjasama baharu dengan rakan Eropah dan negara Asia Barat melibatkan eksport keselamatan dan penerimaan keperluan untuk keyakinan dalaman.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata, negara itu mempunyai keselamatan tenaga yang kukuh dan rantaian bekalan negara itu perlu dipastikan selamat dalam suasana antarabangsa yang tidak menentu.
“Perlu ada, dan memang ada, tindak balas dalaman yang jelas terhadap ketidakstabilan yang kini meluas akibat situasi di sekitar Iran, yang telah berlarutan terlalu lama. Malah, semua pasaran global kini terganggu dan kesan ekonomi boleh menjadi signifikan.
“Kita memerlukan keputusan dalaman supaya Ukraine dapat dibekalkan sepenuhnya dengan segala keperluan sepanjang tempoh ini, dan dalam jangka panjang kita dapat mengekalkan pertahanan, ekonomi, dan keperluan sosial negara,” kata Zelenskiy.
Zelenskiy, menegaskan bahawa negara itu sedang memastikan bekalan bahan api mencukupi bagi menghadapi ketidakstabilan global yang berlaku ketika ini.
Beliau berkata, pada bulan Mac dan April, jumlah bahan api yang diperlukan sedang diimport menerusi kerjasama daripada syarikat milik kerajaan dan swasta.
“Penting bagi kita mempunyai perjanjian bekalan bahan api. Kini, pada bulan Mac dan April, jumlah yang diperlukan sedang diimport. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat, baik milik kerajaan mahu pun swasta,” katanya.
Ukraine turut bekerjasama dengan rakan-rakan Eropah serta negara-negara di Asia Barat, sebagai sebahagian daripada kerjasama baharu negara itu.
“Ini sebahagian daripada kerjasama baharu kita: Ukraine mengeksport keselamatan dan menerima apa yang diperlukan untuk keyakinan dalaman dan keselamatan tenaga,” katanya.- REUTERS