Konflik Asia Barat: Parlimen Korea Selatan lulus belanjawan tambahan AS$17.7 bilion tangani impak ekonomi

FOTO REUTERS

SEOUL, 11 April – Parlimen Korea Selatan pada Jumaat meluluskan belanjawan tambahan kerajaan berjumlah 26.2 trilion won atau (AS$17.7 bilion) sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan impak ekonomi domestik akibat konflik Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan berhasrat melaksanakan belanjawan segera untuk mengurangkan kejutan ekonomi susulan lonjakan harga minyak mentah.
  • Pakej bantuan termasuk baucar pengguna tunai antara 100,000 hingga 600,000 won bagi individu dalam kumpulan 70 peratus berpendapatan rendah.
  • Dana turut diperuntukkan mengekalkan had harga bahan api selama enam bulan untuk melindungi kestabilan ekonomi yang bergantung kepada import tenaga.

Pelan itu, yang pada asalnya dicadangkan oleh kerajaan pada akhir Mac lalu, merupakan bajet tambahan kedua di bawah pentadbiran Presiden Lee Jae-myung sejak memegang jawatan pada Jun 2025.

Kerajaan Korea Selatan merancang untuk melaksanakan belanjawan berkenaan secepat mungkin bagi meminimumkan kejutan ekonomi susulan lonjakan harga minyak mentah di pasaran global.

Pakej bantuan tersebut turut merangkumi agihan baucar pengguna, yang melibatkan pemberian tunai antara 100,000 won hingga 600,000 won bagi setiap individu.

Inisiatif berkenaan dikhaskan kepada golongan rakyat yang berada dalam kumpulan 70 peratus berpendapatan rendah.

Selain itu, belanjawan berkenaan turut memperuntukkan dana bagi mengekalkan had harga bahan api di seluruh negara yang diperkenalkan bulan lalu buat pertama kali dalam tempoh hampir tiga dekad.

Langkah pengekalan had harga itu dijangka berterusan selama enam bulan bagi melindungi kestabilan ekonomi negara berkenaan yang hampir sepenuhnya bergantung kepada sumber tenaga import. – REUTERS