Konflik Asia Barat: Lebih 6,000 tan teh terkandas di pelabuhan Kenya

Anggota keselamatan Iran melakukan kawalan semasa upacara pengebumian jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Ali Mohammad Naini yang terbunuh dalam serangan gabungan Amerika Syarikat dan Israel pada 21 Mac 2026/ AFP

NAIROBI, 28 Mac- Lebih 6,000 hingga 8,000 tan teh bernilai kira-kira AS$24 juta terkandas di pelabuhan Mombasa, Kenya akibat konflik di Asia Barat, menurut pegawai perdagangan pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabuhan Mombasa berfungsi sebagai pasaran global lelongan teh, mempengaruhi ratusan ribu tan teh setiap tahun.
  • Kira-kira 65 peratus pasaran teh Afrika Timur terjejas selepas serangan bermula 28 Februari.
  • Penghantaran ke Asia Barat dan Pakistan terganggu, kos pengangkutan meningkat, menjejaskan bekalan dan pasaran utama.
  • Eksport daging, hortikultur dan bunga menurun; kehilangan hasil mingguan dan kekurangan bahan api meruncing.

Persatuan Perdagangan Teh Afrika Timur (EATTA) yang menguruskan lelongan di pelabuhan tersebut berkata pelabuhan itu berfungsi sebagai pasaran global dengan ratusan ribu tan teh dari rantau itu dijual setiap tahun.

Pengarah EATTA, George Omuga menjelaskan kira-kira 65 peratus pasaran teh Afrika Timur terjejas akibat konflik yang bermula pada 28 Februari apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

“Jadi, enam hingga lapan juta kilogram teh kini tersekat di Mombasa, bernilai purata AS$24 juta,” katanya.

Teh yang telah dijual tidak dapat dihantar terutamanya ke negara Asia Barat yang menyumbang kira-kira 20 peratus pasaran, manakala penghantaran ke Pakistan yang merangkumi 40 peratus pasaran turut terganggu akibat kos pengangkutan meningkat.

Jualan teh menurun hampir 20 peratus dalam beberapa minggu kebelakangan menyebabkan kehilangan hasil kira-kira AS$8 juta setiap minggu.

Sektor daging dan hortikultur Kenya juga terjejas dengan kerugian berjuta-juta dolar setiap minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kenya Meat and Livestock Exporters Industry Council (KEMLEIC), Nicholas Ngahu berkata hanya lima peratus daripada 150 hingga 200 tan daging yang dieksport setiap hari berjaya dihantar pada tiga minggu pertama Mac, kebanyakannya untuk pasaran Asia Barat.

Pasaran Asia Barat juga menyumbang antara 10 hingga 15 peratus eksport bunga Kenya dan berperanan sebagai pusat transit utama terutamanya bagi penghantaran ke Eropah.

Selain itu, gangguan bekalan memberi tekanan kepada import bahan api Kenya. Harga harga petrol dan diesel kekal tidak berubah pada Mac tetapi peniaga bimbang mengenai kemungkinan kenaikan mendadak.

Vivo Energy Kenya, pengendali stesen Shell melaporkan “kehabisan stok sementara di beberapa stesen” akibat peningkatan permintaan sambil menegaskan usaha berterusan untuk menambah bekalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Outlets Association of Kenya, John Njogu berkata ribuan stesen menghadapi kekurangan bekalan kerana pembelian panik. -AFP