Konflik Asia Barat jejas rantaian bekalan kemanusiaan global

Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher – Foto AFP

GENEVA, 12 Mac – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa konflik yang semakin memuncak di Asia Barat memberi tekanan besar terhadap operasi kemanusiaan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik AS, Israel dan Iran yang merebak ke Lubnan dan negara Teluk menggoncang pasaran global serta menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa.
  • Penutupan ruang udara dan sekatan melalui Selat Hormuz menyekat laluan bantuan, melambatkan penghantaran ke Gaza, Afrika Sub-Sahara dan wilayah krisis lain.
  • Kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan bersama pengurangan dana penderma meningkatkan kos operasi, mengurangkan jumlah bantuan yang boleh dihantar.

Ini sekali gus mengganggu rantaian bekalan dan memperlahankan penghantaran bantuan ke zon krisis di seluruh dunia.

Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher berkata, dunia kini berada pada saat genting, khususnya bagi Asia Barat dan juga masyarakat antarabangsa secara keseluruhan.

Konflik peperangan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang kini turut merebak ke Lubnan serta melibatkan beberapa negara Teluk telah menggoncang pasaran global selain menjejaskan rantaian bekalan antarabangsa.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan penutupan ruang udara di beberapa kawasan serta sekatan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz yang merupakan laluan maritim kritikal bagi perdagangan dunia.

Fletcher berkata, penghantaran bekalan bantuan ke Gaza dan wilayah Afrika Sub-Sahara turut terjejas berikutan sebahagian besar bantuan kemanusiaan perlu melalui Selat Hormuz atau ruang udara di rantau Teluk yang kini sebahagian besarnya disekat atau terhad.

Menurutnya, beberapa negara yang dilanda konflik seperti Somalia yang kini menghadapi kemarau besar serta Sudan, termasuk antara negara yang sedang berdepan krisis kemanusiaan yang serius.

“Keadaan ini akan menjejaskan rantaian bekalan kemanusiaan kami, mengurangkan bantuan yang boleh dihantar kepada mereka yang memerlukannya, selain meningkatkan kos tenaga dan harga makanan di seluruh rantau ini,” katanya dalam temu bual dengan Reuters pada Rabu.

Fletcher turut menyuarakan kebimbangan khusus terhadap bekalan bantuan ke Afrika Sub-Sahara yang kini terjejas berikutan sekatan pergerakan melalui Selat Hormuz, manakala laluan alternatif pula berdepan peningkatan kos pengangkutan yang ketara.

Pada masa sama, kenaikan harga minyak turut menjadikan operasi penghantaran bantuan melalui udara oleh PBB semakin mahal, ketika agensi-agensi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang berdepan pengurangan dana daripada penderma utama.

Beliau berkata, pihaknya baru sahaja berjaya mengumpulkan dana untuk memastikan lebih banyak penerbangan kemanusiaan PBB dapat diteruskan, namun kos operasi meningkat secara mendadak dalam tempoh yang sangat singkat. – REUTERS