Konflik Asia Barat: Harga diesel Kemboja cecah AS$1.88 seliter

Foto fail AFP

PHNOM PENH, 1 April- Harga diesel di Kemboja meningkat hampir dua kali ganda sejak bermulanya konflik Asia Barat iaitu mencecah 7,500 riel seliter (AS$1.88 atau kira-kira RM8.90 seliter) pada Rabu, menurut data rasmi kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga diesel menimbulkan kebimbangan bagi petani menjelang musim membajak.
  • Konflik selepas serangan terhadap Iran pada 28 Februari mendorong kenaikan harga minyak dan kebimbangan bekalan global.
  • Petrol biasa juga meningkat kepada 5,450 riel seliter, naik daripada kira-kira 3,750 riel pada akhir Februari.
  • Kos sewa traktor hampir dua kali ganda, daripada 80,000 kepada 150,000 riel, membebankan petani.

Kementerian Perdagangan memaklumkan harga itu naik daripada 7,200 riel sehari sebelumnya dan 3,750 riel pada akhir Februari, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petani menjelang musim membajak.

Konflik yang tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari telah mendorong kenaikan harga minyak dan gas global, selain mencetuskan kebimbangan kekurangan bekalan bahan api terutama di Asia yang bergantung kepada import.

Harga petrol di negara itu kini mencecah 5,450 riel seliter, meningkat daripada sekitar 3,750 riel pada akhir Februari.

Kemboja bergantung sepenuhnya kepada import bahan api pengguna dengan kerajaan menetapkan had harga minyak dan petrol.

Seorang petani, Bun Thoeun, 71, dari Battambang berkata kenaikan harga bahan api memberi tekanan kepada golongan petani.

“Harga diesel yang tinggi meletakkan petani dalam keadaan sukar,” katanya yang menggunakan traktor buatan sendiri berkuasa diesel.

Bun Thoeun berkata kos menyewa traktor untuk membajak sawah hampir dua kali ganda iaitu daripada 80,000 riel kepada 150,000 riel, menjelang musim membajak yang dijangka bermula Mei.

Menurutnya, diesel juga diperlukan untuk menggerakkan pam air bagi pengairan sawah.

“Kami berharap hujan turun dengan banyak; itu akan membantu mengurangkan kos membeli diesel,” katanya. -AFP