
WASHINGTON, 28 Mac- Satu kumpulan penggodam yang mempunyai kaitan dengan Iran mendakwa telah menggodam akaun emel peribadi Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS), Kash Patel dan menyiarkan gambar peribadi serta bahan lain secara dalam talian.
- Kumpulan 'Handala Hack Team' mendakwa memperoleh emel, perbualan, dokumen dan fail didakwa sulit milik Pengarah FBI.
- Kumpulan mendakwa menembusi sistem keselamatan FBI dalam beberapa jam.
- FBI mengesahkan sasaran emel peribadi; kata pihaknya ambil langkah mitigasi, maklumat bersifat lama dan bukan maklumat kerajaan.
- Jabatan Negara AS tawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat yang membawa kepada pengenalpastian anggota kumpulan.
Dalam kenyataan disiarkan oleh Kumpulan Perisikan SITE, kumpulan dikenali sebagai ‘Handala Hack Team’ itu mendakwa telah memperoleh pelbagai maklumat peribadi dan sulit milik Patel termasuk emel, perbualan, dokumen dan fail sulit.
Kumpulan itu turut mendakwa sistem keselamatan FBI yang sebelum ini dianggap kebal berjaya ditembusi dalam tempoh beberapa jam, selain menyatakan serangan tersebut didedikasikan kepada “syahid kapal pemusnah Dena” iaitu kapal tentera laut Iran yang dilaporkan ditenggelamkan oleh kapal selam AS di perairan selatan Sri Lanka awal bulan ini.
Bagaimanapun, FBI dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa kumpulan tersebut telah menyasarkan maklumat emel peribadi Patel, namun menegaskan pihaknya telah mengambil semua langkah perlu bagi mengurangkan sebarang potensi risiko berkaitan insiden berkenaan.
“Maklumat yang diperolehi kumpulan berkenaan adalah bersifat lama dan tidak melibatkan sebarang maklumat kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Negara AS turut menawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta bagi maklumat yang membawa kepada pengenalpastian anggota ‘hacktivis’ pro-Iran berkenaan yang sebelum ini pernah menyasarkan pegawai kerajaan AS. -AFP