Konflik Afghanistan-Pakistan : China seru gencatan senjata segera

 Foto AFP

BEIJING, 27 Februari – China menggesa gencatan senjata segera antara Afghanistan dan Pakistan serta memaklumkan sedang berunding dengan kedua-dua pihak bagi meredakan konflik.

RINGKASAN BERITA AI
  • China menyeru gencatan senjata segera antara Afghanistan dan Pakistan untuk elak pertumpahan darah.
  • Beijing sedang berunding dengan kedua-dua pihak dan menawarkan peranan pengantara bagi meredakan ketegangan.
  • Kementerian dan kedutaan China di kedua negara bekerjasama rapat untuk menangani situasi keselamatan.
  • China prihatin terhadap keselamatan rakyat dan projek pelaburan serta bersedia membantu warganya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, berkata China sangat bimbang dengan peningkatan konflik susulan serangan udara Pakistan ke atas beberapa bandar utama Afghanistan, termasuk Kabul, pada Jumaat.

Menurut Mao, China menyeru kedua-dua pihak agar kekal tenang dan berwaspada, mencapai gencatan senjata segera serta mengelakkan pertumpahan darah.

“China secara konsisten menjadi pengantara konflik antara Pakistan dan Afghanistan melalui salurannya sendiri dan bersedia untuk terus memainkan peranan yang membina dalam mengurangkan ketegangan”, katanya dalam satu taklimat.

“Kementerian serta kedutaan China di Pakistan dan Afghanistan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan di kedua-dua negara bagi menangani situasi itu”, katanya.

Serangan terbaharu Pakistan dilaporkan berlaku selepas selepas pasukan Afghanistan menyerang sempadan pada Khamis dan Menteri Pertahanan Pakistan menyifatkannya sebagai perang terbuka.

China merupakan rakan strategik Pakistan, termasuk melalui pelaburan puluhan bilion dolar dalam projek pengangkutan, tenaga dan infrastruktur di bawah ‘Belt and Road Initiative’. Pakistan juga menggunakan peralatan ketenteraan buatan China, termasuk pesawat tempur.

Penganalisis berkata Beijing juga menjadi rakan penting kepada pihak berkuasa Taliban sejak kembali berkuasa pada 2021.

Mao menegaskan keselamatan rakyat dan projek China mesti dijaga, sambil Beijing memantau situasi dan bersedia memberi bantuan kepada warganya yang memerlukan.-AFP