Kompleks petrokimia Arab Saudi diserang

Serangan menyebabkan kebakaran di loji SABIC di bandar Jubail

RIYADH, 7 April – Sebuah kompleks petrokimia di hab perindustrian di timur Arab Saudi diserang, beberapa jam selepas kemudahan serupa di Iran menjadi sasaran bedilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertahanan udara Arab Saudi menangkis tujuh peluru berpandu balistik bermatlamat ke timur, semua berjaya dipintas dan dimusnahkan.
  • Serpihan peluru berpandu jatuh berhampiran kemudahan tenaga; penilaian kerosakan sedang dijalankan.
  • Jubail ialah bandar perindustrian besar menghasilkan keluli, petrol, petrokimia, minyak pelincir dan baja kimia.
  • Jambatan Raja Fahd ditutup sementara sebagai langkah berjaga jaga; pergerakan kenderaan digantung dan dibuka semula beberapa jam kemudian.

Saksi mendakwa, serangan malam tadi menyebabkan kebakaran di loji Saudi Basic Industries Corporation (SABIC) di bandar Jubail, memaksa pekerja dipindahkan.

Menurut Jurucakap Kementerian Pertahanan, serangan terhadap bandar itu dilancarkan ketika pasukan pertahanan udara Arab Saudi menangkis serangan ke arah wilayah di timur, dengan tujuh peluru berpandu balistik berjaya dipintas dan dimusnahkan.

“Sebahagian serpihan peluru berpandu balistik jatuh berhampiran kemudahan tenaga; penilaian kerosakan sedang dijalankan,” kata kementerian itu menerusi hantaran di laman X.

Jubail merupakan salah sebuah bandar perindustrian terbesar di dunia yang menghasilkan keluli, petrol, petrokimia, minyak pelincir dan baja kimia.

Pada awal pagi Selasa, pihak berkuasa Riyadh turut mengumumkan penutupan sementara jambatan utama yang menghubungkan negara itu dengan Bahrain sebagai langkah berjaga-jaga, susulan amaran keselamatan di kawasan berkenaan.

Namun, ia dibuka semula beberapa jam kemudian. -AFP