Kemboja lulus undang-undang penjara seumur hidup dalang sindiket penipuan

Seragam polis Jepun dan kad pengenalan palsu dirampas dalam operasi penipuan dalam talian di Phnom Penh, Kemboja/Foto REUTERS

PHNOM PENH, 30 Mac – Perhimpunan Kebangsaan Kemboja pada Isnin meluluskan draf undang-undang untuk memerangi penipuan dalam talian, yang akan membawa hukuman penjara hingga 30 tahun atau penjara seumur hidup ke atas ketua atau dalang sindiket penipuan, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Koeut Rith berkata jenayah penipuan dalam talian menjejaskan keselamatan awam dan imej Kemboja di persada antarabangsa.
  • Ketua pusat penipuan berdepan penjara lima hingga 10 tahun dan denda sehingga 1 bilion riel; lebih tinggi jika melibatkan keganasan.
  • Penipu dalam talian akan dipenjara dua hingga lima tahun dan didenda sehingga 500 juta riel.
  • Kerajaan melancarkan operasi nasional, menghantar pulang lebih 30,000 suspek asing dan komited hapuskan pusat penipuan menjelang April.

Sebanyak 112 ahli parlimen yang hadir sebulat suara meluluskan draf rang undang-undang itu.

Menurut rang undang-undang itu, ketua sindiket dalam talian akan berdepan antara 15 dan 30 tahun atau penjara seumur hidup jika operasi mereka membawa kepada satu atau banyak kematian.

Ketua pusat penipuan dalam talian akan berdepan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda hingga 1 bilion riel (USD250,000). Jika operasi mereka melibatkan keganasan, penyeksaan, kurungan haram, pemerdagangan manusia atau buruh paksa, mereka boleh berdepan penjara 10 hingga 20 tahun dan denda sehingga 2 bilion riel (USD500,000).

Penipu dalam talian, sementara itu, akan dipenjara dua hingga lima tahun dengan denda sehingga 500 juta riel (USD125,000).

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman Koeut Rith berkata Kemboja adalah satu daripada banyak negara di rantau ini yang menghadapi penjenayah penipuan dalam talian.

“Jenayah ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam secara serius, tetapi juga menjejaskan reputasi dan imej Kemboja di persada antarabangsa,” katanya kepada parlimen.

Koeut Rith berkata undang-undang itu akan “meningkatkan keberkesanan memerangi penipuan dalam talian, bertujuan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta meningkatkan keberkesanan kerjasama dalam memerangi penipuan dalam talian”.

Draf rang undang-undang itu perlu disemak semula oleh Dewan Negara sebelum diserahkan kepada Raja Norodom Sihamoni untuk diisytiharkan.

Kerajaan julung kali melancarkan operasi penguatkuasaan di seluruh negara ke atas rangkaian penipuan siber demi memastikan sekuriti sosial, keselamatan dan ketenteraman awam, dan untuk memulihkan imej kerajaan di pentas antarabangsa.

Negara Asia Tenggara itu komited untuk menghapuskan semua pusat penipuan dalam talian menjelang April tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Sar Sokha berkata pada Februari, Kemboja telah menghantar pulang lebih 30,000 suspek warga asing, dan lebih 210,000 yang lain secara sukarela meninggalkan negara itu selepas operasi menentang penipuan dalam talian dipergiat sejak Jun 2025. – BERNAMA-XINHUA