
WASHINGTON, 18 Februari – Tentera Thailand masih berada di wilayah Kemboja susulan pertempuran pada 2025, meskipun perjanjian damai telah dimeterai dengan pengantaraan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
- Hun Manet gesa Thailand benarkan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) memulakan kerja bagi menyelesaikan pertikaian sempadan.
- Kehadiran tentera Thailand didakwa melangkaui garisan tuntutan unilateral dan menghalang penduduk kembali ke rumah masing-masing.
- Kemboja menuntut penyelesaian teknikal berdasarkan perjanjian sedia ada untuk mengesahkan sempadan dan menegaskan kedaulatannya.
- Hun Manet mahu penandaan sempadan dimulakan segera selepas pilihan raya Thailand selesai untuk memulihkan kehidupan normal.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menggesa Thailand membenarkan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) memulakan tugas bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara.
Beliau berada di Washington bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Keamanan yang diwujudkan oleh Trump minggu ini, dan berharap badan baharu itu dapat memainkan peranan dalam meredakan ketegangan di sempadan yang disifatkannya sebagai ‘rapuh’, walaupun gencatan senjata dicapai pada Disember lalu bagi menamatkan semula pertempuran.
Lembaga tersebut pada asalnya ditubuhkan untuk memantau pelan damai Gaza, namun Trump menyatakan ia juga boleh memainkan peranan lebih luas.
Thailand sebelum ini memaklumkan bahawa pengekalan kedudukan tenteranya adalah sebahagian daripada langkah meredakan ketegangan dan menafikan pihaknya menceroboh wilayah Kemboja.
Kenyataan pemimpin Kemboja itu menyerlahkan risiko konflik berkenaan kembali tercetus, meskipun Trump terus menyatakan kejayaan perjanjian damai tersebut.
Pertempuran paling buruk dalam tempoh lebih sedekad yang tercetus pada Julai lalu telah menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah serta menjejaskan perdagangan di sepanjang sempadan 817 kilometer antara kedua-dua negara.
Perjanjian damai yang dimeterai pada Oktober dengan penglibatan Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim namun hanya bertahan beberapa minggu sebelum gencatan senjata baharu dicapai pada 27 Disember.
“Kami masih mempunyai tentera Thailand yang berada jauh di dalam wilayah Kemboja di banyak kawasan. Ia melangkaui garisan tuntutan unilateral Thailand sendiri,” kata Hun Manet dalam wawancara pertamanya bersama media antarabangsa.
Beliau turut mendakwa tentera Thailand meletakkan kontena perkapalan dan kawat berduri di kawasan yang sekian lama diiktiraf sebagai wilayah Kemboja, sekali gus menghalang penduduk kembali ke kediaman masing-masing. “Ini bukan tuduhan, tetapi kenyataan berdasarkan fakta di lapangan,” tegasnya.
Hun Manet berkata Kemboja tidak boleh menerima sebarang pelanggaran terhadap kedaulatan atau integriti wilayahnya. Satu-satunya kaedah pengesahan adalah melalui mekanisme teknikal berdasarkan perjanjian dan persetujuan sedia ada.
“Kami berharap Thailand bersetuju dan membenarkan JBC memulakan kerja secepat mungkin,” katanya, sambil menambah bahawa Thailand sebelum ini memaklumkan pilihan raya pada 8 Februari sebagai alasan untuk tidak memulakan proses penandaan sempadan.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dilaporkan meraih sokongan berasaskan sentimen nasionalisme dalam pilihan raya tersebut susulan konflik sempadan.
“Pilihan raya sudah selesai. Kami berharap Thailand sekurang-kurangnya boleh memulakan proses pengukuran dan penandaan sempadan di kawasan berisiko supaya kehidupan dapat kembali seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, Hun Sen, mengumumkan penyerahan kuasa kepada anaknya, Hun Manet, selepas pilihan raya 2023 yang menyaksikan Parti Rakyat Kemboja hampir tidak berdepan saingan.
Pelantikan Hun Manet, 48, lulusan Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point, serta penglibatan Trump dalam pertikaian sempadan itu dilihat membuka lembaran hubungan lebih mesra antara Washington dan Phnom Penh, yang sebelum ini semakin rapat dengan China.
Hun Manet menegaskan hubungan Kemboja dengan China dan Amerika Syarikat tidak bersifat eksklusif antara satu sama lain, sambil menyatakan “tiada apa yang perlu disembunyikan” negara itu berhubung pangkalan tentera laut Ream yang dinaik taraf negara China.- REUTERS