
KASHMIR, 1 Mac – Kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel di Tehran mencetuskan protes dan ketegangan antarabangsa.
- Kematian Ayatollah Ali Khamenei akibat serangan udara AS dan Israel mencetuskan kemarahan antarabangsa.
- Protes besar-besaran berlangsung di beberapa negara, termasuk Kashmir dan Iraq, dengan ribuan peserta.
- Perhimpunan menzahirkan kemarahan anti-Amerika Syarikat dan anti-Israel tetapi kebanyakan berlangsung secara aman.
Tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan tercetus di beberapa negara melibat ribuan umat Islam yang melaungkan bantahan terhadap pembunuhan tersebut.
Di Kashmir yang ditadbir India, ribuan penunjuk perasaan membawa bendera merah, hitam dan kuning berhimpun di dataran utama di tengah-tengah Srinagar.
Ramai dalam kalangan mereka melaungkan slogan anti-Israel dan anti-Amerika Syarikat dalam perhimpunan yang penuh emosi namun berlangsung secara aman.
Seorang peserta, Syed Towfeeq, 40, ketika ditemui AFP berkata, mereka sedang berkabung atas pemergian pemimpin kesayangan.
Protes serupa turut diadakan di beberapa lokasi lain di seluruh Kashmir serta kawasan lain di India.
DI IRAQ, orang ramai yang marah turun ke jalan di bandar selatan Basra bagi mengecam pembunuhan Khamenei.
Seorang penunjuk perasaan Iraq, Firas Mohammed menyifatkan, pembunuhan itu sebagai malapetaka besar dan satu bencana.