Kelewatan bajet tentera Taiwan undang risiko pertahanan

Presiden Taiwan, Lai Ching-te / FOTO REUTERS

TAIPEI, 11 Februari – Kelewatan meluluskan bajet khas ketenteraan bernilai AS$40 bilion berisiko menyebabkan “keretakan” dalam barisan pertahanan bersama menentang China, kata Menteri Pertahanan Taiwan pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelewatan kelulusan bajet ketenteraan AS$40 bilion risiko cipta keretakan dalam barisan pertahanan bersama menentang China.
  • Pembangkang tolak cadangan penuh; ajukan pelan lebih murah hanya biayai sebahagian pembelian senjata AS.
  • Kerajaan jalinkan rundingan intensif dengan AS bagi pastikan keperluan persenjataan Taiwan dipenuhi.
  • Lai tekankan pengukuhan pertahanan untuk lindungi cara hidup rakyat dan tunjuk komitmen antarabangsa Taiwan.

Presiden Lai Ching-te pula menggesa parlimen yang dikuasai pembangkang meluluskan peruntukan tersebut.

Lai tahun lalu mencadangkan peningkatan perbelanjaan pertahanan itu bagi mengekang ancaman China yang menganggap pulau tersebut sebagai wilayahnya.

Namun, pihak pembangkang enggan meneliti cadangan berkenaan dan sebaliknya mengemukakan pelan lebih murah yang hanya membiayai sebahagian pembelian senjata dari Amerika Syarikat.

Dalam sidang media yang turut dihadiri ketua tentera darat, laut dan udara, Menteri Pertahanan Wellington Koo berkata kerajaan telah mengadakan perbincangan intensif dengan AS mengenai keperluan persenjataan Taiwan.

Lai menegaskan pengukuhan pertahanan Taiwan bukan kerana negara itu mahu menyerang mana-mana pihak, sebaliknya untuk mempertahankan cara hidup rakyatnya.

“Ancaman China semakin serius. Bajet pertahanan Taiwan mesti diluluskan dengan lancar. Ini melambangkan tekad Taiwan serta menunjukkan negara ini menunaikan tanggungjawab sebagai anggota komuniti antarabangsa,” kata Lai. – REUTERS