
LAGOS, 24 Februari – Kebakaran yang tercetus di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, Lagos, petang Isnin menyebabkan enam individu cedera dan penerbangan digantung sementara.
- Kebakaran di menara kawalan Murtala Muhammed menyebabkan gangguan operasi dan penerbangan digantung sementara.
- Enam orang cedera, tiga wanita dan tiga lelaki, dilaporkan dalam keadaan stabil.
- 14 individu terselamat dari menara kawalan tanpa kecederaan selepas diselamatkan menggunakan kren.
- Menara kawalan sementara diaktifkan, siasatan oleh bomba dijalankan, dan balai berlepas mengalami kerosakan.
Menurut Federal Airports Authority of Nigeria (FAAN), kebakaran itu menjejaskan operasi menara kawalan sebelum berjaya dikawal dalam tempoh singkat dan operasi penerbangan disambung semula.
Enam mangsa cedera membabitkan tiga wanita dan tiga lelaki, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Seramai 14 individu yang terperangkap di menara kawalan berjaya diselamatkan tanpa kecederaan selepas pasukan kecemasan menggunakan kren untuk memindahkan mereka.
Pengarah Urusan FAAN, Olubunmi Kuku berkata menara kawalan sementara diaktifkan bagi memulihkan operasi lapangan terbang.
“Penerbangan kini berlepas dan mendarat seperti biasa. Walaupun terdapat sedikit kelewatan, jadual penerbangan sudah kembali normal,” katanya kepada pemberita.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dan terus memantau lokasi bagi mengelakkan api marak semula.
Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Negeri Lagos memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Kebakaran itu turut menyebabkan kerosakan pada balai berlepas yang sedang menjalani kerja naik taraf sebagai sebahagian projek berskala besar bernilai kira-kira 712 bilion naira (AS$530 juta).
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pesawat Air France yang berlepas dari Paris ke Lagos sekitar pukul 3 petang waktu tempatan dilaporkan berpatah balik ke ibu negara Perancis susulan insiden berkenaan.-AFP