
AMMAN, 21 Februari – Kementerian Luar Jordan pada Sabtu mengecam kenyataan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee yang mendakwa Israel mempunyai hak untuk menuntut kawalan ke atas seluruh Timur Tengah, dan menyifatkan kenyataan itu sebagai “melulu serta provokatif,” lapor Xinhua.
- Jordan mengecam kenyataan Duta AS Mike Huckabee sebagai melulu dan provokatif.
- Kenyataan itu dianggap melanggar norma diplomatik dan kedaulatan negara serantau.
- Jordan menegaskan Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Gaza adalah wilayah Palestin yang diduduki.
- Penamatan pendudukan dan penyelesaian dua negara berdasarkan undang-undang antarabangsa diperlukan untuk keamanan adil.
Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Fouad Majali dalam satu kenyataan berkata kenyataan Huckabee itu melanggar norma diplomatik, mencabuli kedaulatan negara-negara serantau, serta melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut beliau lagi, kenyataan itu juga bercanggah dengan pendirian rasmi Washington yang menolak pengilhakan Tebing Barat yang diduduki.
Majali menegaskan bahawa Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza, adalah wilayah Palestin yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa.
Beliau turut mengulangi bahawa menamatkan pendudukan dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka berdasarkan penyelesaian dua negara serta undang-undang antarabangsa adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan yang adil dan menyeluruh. – BERNAMA-XINHUA