Jerman tolak cadangan misi Eropah lindungi kapal di Selat Hormuz

Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul./REUTERS

BERLIN, 18 MAC – Menteri Luar Jerman pada Selasa menolak idea mengenai misi ketenteraan Eropah yang bebas untuk melindungi kapal dagang di Selat Hormuz, dengan menyatakan bahawa pasukan Eropah kekurangan keupayaan yang diperlukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wadephul berkata Eropah tidak patut bertindak ketenteraan bersendirian kerana kekurangan keupayaan yang diperlukan.
  • Beliau berpendapat jika angkatan tentera AS tidak mampu, pasukan Eropah juga kemungkinan besar tidak mampu.
  • Beliau menolak kemungkinan rundingan berasingan dengan Iran untuk menjamin laluan selamat kapal Eropah.
  • Berlin mahu konflik dihentikan segera dan menunggu AS serta Israel memuktamadkan objektif ketenteraan sebelum rundingan diplomatik.

“Saya tidak percaya Eropah patut mengambil langkah bersendirian dalam hal ini,” kata Menteri Luar Johann Wadephul pada sidang media di Berlin ketika ditanya sama ada negara-negara Eropah boleh melancarkan operasi sendiri bagi melindungi kepentingan ekonomi mereka.

“Saya berpendapat ia tidak masuk akal, sekurang-kurangnya bagi Kerajaan Jerman. Jika angkatan tentera Amerika Syarikat (AS) tidak mampu menyediakan keselamatan ketenteraan, maka pasukan Eropah juga berkemungkinan besar tidak mampu melakukannya,” kata Wadephul.

Diplomat tertinggi Jerman itu turut menolak kemungkinan Eropah mengadakan rundingan perjanjian berasingan dengan Iran bagi menjamin laluan selamat untuk kapal-kapal Eropah.

Beliau berkata Berlin mahu konflik semasa dihentikan secepat mungkin dan sedang menunggu AS serta Israel memuktamadkan objektif ketenteraan mereka, sekali gus membuka jalan kepada rundingan diplomatik.

“Akhir sekali, pelayaran selamat di rantau ini hanya boleh dijamin dalam rangka kerja seni bina keselamatan baharu, dan itulah yang perlu kita usahakan,” kata Wadephul sambil menambah bahawa ini memerlukan perbincangan dengan negara-negara di rantau berkenaan.

Sudah tentu, dalam susunan pasca perang, kami juga bersedia untuk menggalas tanggungjawab bagi memastikan jaminan ini berterusan,” katanya – BERNAMA