
TOKYO, 6 Mac – Jepun pada Jumaat memulakan pelepasan ke-18 air sisa tercemar nuklear dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi ke laut, lapor Xinhua.
- Operasi pelepasan berlangsung 19 hari sehingga 24 Mac, menurut TEPCO.
- Kira-kira 7,800 tan air sisa dilepaskan, mengandungi kira-kira dua trilion becquerel tritium.
- TEPCO merancang melepaskan 62,400 tan dalam lapan pusingan fiskal 2026, mengandungi kira-kira 11 trilion becquerel tritium.
Operasi pelepasan yang bermula pagi Jumaat itu akan berlangsung selama 19 hari sehingga 24 Mac, menurut Tokyo Electric Power Company (TEPCO).
Kira-kira 7,800 tan air sisa akan dilepaskan, mengandungi sekitar dua trilion becquerel bahan radioaktif tritium, menurut TEPCO.
Syarikat utiliti itu merancang untuk melepaskan sejumlah 62,400 tan air tercemar dalam lapan pusingan sepanjang tahun fiskal 2026, yang mengandungi kira-kira 11 trilion becquerel tritium.
Loji nuklear Fukushima mengalami kerosakan teruk selepas dilanda gempa bumi berukuran 9.0 magnitud serta tsunami pada 11 Mac 2011. Insiden itu menyebabkan lebur teras reaktor dan pembebasan radiasi, sekali gus diklasifikasikan sebagai kemalangan nuklear tahap tujuh iaitu tahap tertinggi dalam Skala Peristiwa Nuklear dan Radiologi Antarabangsa.
Walaupun mendapat bantahan daripada nelayan tempatan, penduduk serta komuniti antarabangsa, pelepasan air sisa nuklear Fukushima ke laut bermula pada Ogos 2023.
Pelepasan pusingan ke-17 selesai pada Disember 2025.
Setakat ini, kira-kira 133,000 tan air sisa dilepaskan ke laut. – BERNAMA