
VILNIUS, 26 Januari -Dokumen jaminan keselamatan dua hala antara Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) kini siap sepenuhnya dan hanya menunggu penetapan lokasi untuk dimeterai.
- Dokumen jaminan keselamatan dua hala antara Ukraine dan AS sudah siap sepenuhnya dan menunggu penetapan lokasi untuk dimeteraikan.
- Ukraine mahu jaminan keselamatan dimuktamadkan sebelum proses ratifikasi di Kongres AS dan Parlimen Ukraine.
- Zelenskiy menyeru teruskan tekanan terhadap Rusia, termasuk sekatan dan langkah menghentikan pengangkutan minyak melalui kapal tangki.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy memaklumkan, tumpuan utama negaranya ketika ini adalah memastikan jaminan keselamatan itu dimuktamadkan sebelum dokumen berkenaan melalui proses ratifikasi di Kongres AS dan Parlimen Ukraine.
“Bagi kami, jaminan keselamatan adalah perkara paling penting. Dokumen ini sudah siap sepenuhnya,” katanya.
Zelenskiy berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda dan Presiden Poland, Karol Nawrocki, di sini.
Selain jaminan keselamatan daripada AS, beliau menegaskan sokongan Eropah turut menjadi elemen penting kepada keselamatan jangka panjang Ukraine.
Ia termasuk pembentukan gabungan negara sekutu serta usaha memperoleh keanggotaan penuh dalam Kesatuan Eropah (EU).
Menurutnya, Ukraine dijangka bersedia secara teknikal untuk membuka semua kluster rundingan EU pada separuh pertama 2026, sebelum mencapai kesiapsiagaan sepenuhnya pada 2027.
“Kami mahu satu tarikh yang jelas dimasukkan dalam perjanjian menamatkan perang supaya semua pihak terikat dengannya dan tiada siapa boleh menghalang proses ini selepas itu,” katanya.
Dalam pada itu, Zelenskiy menggesa AS dan negara Eropah supaya terus mengekalkan tekanan terhadap Rusia dan tidak melonggarkan pendirian atas alasan diplomasi.
“Tekanan mesti diteruskan, termasuk sekatan. Kapal tangki Rusia yang membawa minyak, termasuk melalui Laut Baltik, perlu dihentikan,” tegasnya lagi. -REUTERS