Israel musnahkan pusat kesihatan Lubnan, 12 petugas perubatan terkorban

Foto REUTERS

BEIRUT, 16 Mac– Krisis kemanusiaan di selatan Lubnan semakin meruncing selepas serangan udara Israel memusnahkan pusat penjagaan kesihatan primer Bourj Qalaouiyeh, mengakibatkan 12 petugas perubatan terkorban.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kematian meningkat kepada 850 sejak 2 Mac, termasuk sekurang-kurangnya 98 kanak-kanak, menurut data rasmi WHO.
  • Menteri Kesihatan Rakan Nassereddine mengecam sasaran terhadap petugas perubatan, menyifatkannya tidak boleh diterima dan menyalahi undang-undang antarabangsa.
  • Kempen pengeboman Israel menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal; Hezbollah membalas dengan melancarkan ratusan roket merentasi sempadan.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan pada Sabtu bahawa mangsa yang terkorban terdiri daripada doktor, paramedik dan jururawat dalam serangan yang berlaku lewat malam Jumaat itu.

Kemusnahan fasiliti berkenaan memberikan tamparan hebat kepada sistem sokongan kesihatan di wilayah bergolak tersebut.

Menteri Kesihatan Lubnan, Rakan Nassereddine mengecam keras tindakan menyasarkan pasukan perubatan dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima serta tidak mempunyai sebarang kewajaran di bawah undang-undang antarabangsa.

Sejak 2 Mac lalu, angka kematian akibat serangan Israel ke atas Lubnan dilaporkan telah meningkat kepada 850 orang.

Menurut data rasmi WHO, sekurang-kurangnya 98 daripada jumlah mangsa yang maut merupakan kanak-kanak.

Kempen pengeboman besar-besaran oleh Israel itu turut menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal manakala kumpulan Hezbollah terus bertindak balas dengan melancarkan ratusan roket merentasi sempadan. -REUTERS