Ireland kecam ancaman tarif Trump berhubung Greenland

Timbalan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris.-Foto Reuters

ISTANBUL, 19 Januari – Timbalan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris dan Menteri Luar Helen McEntee menegaskan pada Ahad bahawa ancaman tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, terhadap lapan negara Eropah adalah ‘tidak boleh diterima sama sekali’, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ireland mengutuk ancaman tarif AS terhadap lapan negara Eropah sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
  • Harris menegaskan Eropah perlu bersatu dan menyelaras tindak balas terhadap ancaman ekonomi itu.
  • McEntee menegaskan masa depan Greenland harus ditentukan oleh Denmark dan rakyat Greenland sendiri.
  • Tarif AS diumumkan bermula 1 Feb, meningkat jika tiada perjanjian pembelian Greenland, mendorong janji tindakan balas Eropah.

Ancaman itu dibuat susulan bantahan negara-negara berkenaan terhadap rancangan AS untuk mengambil alih Greenland.

“Ireland sentiasa mengutamakan persetujuan dan dialog. Ancaman untuk menghukum ekonomi serta perniagaan Eropah dan mengaitkannya dengan isu Greenland adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Saya yakin Eropah akan kekal bersatu dan menyelaras tindakan dalam mempertimbangkan langkah tindak balas,” kata Harris menerusi hantaran di laman X.

Harris yang juga Menteri Kewangan dijadual berlepas ke Brussels pada Isnin untuk bertemu dengan menteri-menteri kewangan dari seluruh Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Luar Ireland, Helen McEntee.-Foto Reuters

McEntee turut menyuarakan nada yang sama di laman X dengan menyifatkan keputusan Trump itu sebagai ‘sememangnya tidak boleh diterima dan amat dikesali’.

Beliau menegaskan bahawa keamanan dan keselamatan yang berkekalan tidak akan tercapai sekiranya prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) diabaikan oleh negara anggota.

“Ireland sangat jelas bahawa masa depan Greenland adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Denmark dan warga Greenland sendiri, selaras dengan prinsip demokrasi dan undang-undang antarabangsa yang telah ditetapkan.

Pendirian ini tidak akan berubah. Penghormatan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara adalah perkara yang tidak boleh ditawar-menawar,” kata McEntee.

Beliau turut menekankan bahawa Denmark dan Greenland mempunyai ‘hak berdaulat’ untuk mengatur latihan ketenteraan bersama rakan kongsi mereka “di wilayah mereka sendiri”.

Suasana di Greenland.-Foto Reuters

Pada Sabtu, Trump menyatakan bahawa Washington akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda dan Finland bermula 1 Feb.

Kadar tarif berkenaan dilapor akan meningkat kepada 25 peratus pada Jun melainkan terdapat perjanjian bagi ‘pembelian lengkap dan menyeluruh ke atas Greenland’.

Pemimpin-pemimpin Eropah kini berikrar untuk mengambil tindakan balas yang diselaraskan.-BERNAMA