
TEHRAN, 31 Mac– Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan bahawa cadangan pelan gencatan senjata terbaharu oleh Amerika Syarikat (AS) mengandungi tuntutan yang melampau, tidak realistik dan tidak munasabah.
- Iran kekal tidak mengadakan rundingan terus dengan Washington dan menegaskan pendirian konsisten sejak awal.
- Iran menumpukan sepenuhnya kepada pertahanan diri selepas serangan AS dan Israel yang mensasarkan asas saintifik serta warisan budaya.
- Keputusan menamatkan konflik hanya akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi negara apabila keadaan memerlukan.
Dalam sidang media mingguan di Tehran pada Isnin (30 Mac), Baghaei menjelaskan bahawa pendirian Iran kekal konsisten sejak awal dan pihaknya tidak mengadakan sebarang rundingan terus dengan Washington.
“Kandungan yang disampaikan kepada kami menerusi pelbagai tajuk seperti ‘pelan 15 perkara’ sebahagian besarnya merangkumi tuntutan yang sangat keterlaluan.”
Walaupun kami menghargai kebimbangan negara serantau terhadap keamanan, Iran tidak mengambil bahagian dalam rangka kerja tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai penyelesaian politik bagi menamatkan peperangan, Baghaei menyatakan bahawa Iran kini terpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya kepada aspek pertahanan diri.
Langkah itu diambil susulan tindakan AS dan Israel yang memperhebat serangan bagi melumpuhkan asas saintifik serta warisan budaya negara itu.
Beliau menambah, sebarang keputusan untuk menamatkan konflik hanya akan dibuat berdasarkan pertimbangan kepimpinan tertinggi negara sekiranya keadaan memerlukan.
Situasi di Asia Barat mencapai kemuncak ketegangan selepas Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran serta beberapa bandar lain pada 28 Februari lalu.
Serangan tersebut mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, selain komander kanan tentera dan orang awam.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kedudukan Israel serta pangkalan tentera AS di seluruh rantau Asia Barat. -REUTERS