
TEHRAN, 11 Februari – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan Tehran bersedia menerima sebarang bentuk pengesahan terhadap program nuklearnya bagi membuktikan Republik Islam itu tidak berhasrat membangunkan senjata atom.
- Iran menegaskan tidak mencari senjata nuklear dan menegaskan programnya untuk tujuan aman sahaja.
- Tehran bersedia menerima mekanisme verifikasi yang dipersetujui untuk membuktikan niat damai program nuklear.
- Presiden Pezeshkian menolak tuntutan Barat yang dianggap melampau semasa rundingan dengan AS.
- Ketidakpercayaan yang diwujudkan oleh AS dan Eropah menyukarkan rundingan mencapai kata sepakat.
Beliau berkata Iran telah berulang kali menyatakan tidak mencari senjata nuklear dan komited untuk membuktikan perkara itu melalui mekanisme verifikasi (pengesahan) yang dipersetujui.
“Kami tidak mencari senjata nuklear. Perkara ini telah kami nyatakan berulang kali. Dan kami bersedia untuk sebarang bentuk pengesahan,” katanya ketika berucap di Dataran Azadi sempena ulang tahun ke-47 Revolusi Islam.
Dalam masa sama, Pezeshkian menegaskan Iran tidak akan tunduk kepada tuntutan melampau Barat ketika rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) diteruskan bagi menyelesaikan pertikaian nuklear yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.
Beliau berkata tembok ketidakpercayaan yang diwujudkan oleh AS dan Eropah menerusi kenyataan serta naratif berhubung program nuklear Iran menyukarkan rundingan mencapai kata sepakat.
Tehran sebelum ini menolak tuntutan Washington supaya program peluru berpandu balistik Iran dimasukkan dalam skop rundingan.
Amerika Syarikat, sekutu Eropah serta Israel menuduh Iran berusaha membangunkan senjata nuklear, namun Tehran menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman.
“Iran tidak akan tunduk kepada tuntutan melampau mereka. Iran juga tidak akan berundur dalam menghadapi ketidakadilan dan pencerobohan, namun kami terus mengadakan rundingan dengan negara jiran bagi mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya. – REUTERS