
TEHRAN, 1 April – Iran menegaskan bersedia menamatkan perang dengan Amerika Syarikat dan Israel.
- Presiden mahu jaminan keselamatan diberikan supaya konflik tidak kembali berulang.
- Serangan udara dilaporkan di Zanjan, merosakkan pusat keagamaan dan loji pengeluaran ubat kanser serta anestetik.
- Pasukan Pengawal Revolusi mengancam menyerang syarikat teknologi AS termasuk Google, Meta, Apple, Intel, Tesla dan Palantir.
- Serangan Israel menjejaskan wilayah; lebih 1,200 terkorban dan lebih sejuta penduduk terpaksa melarikan diri.
Bagaimanapun, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dilaporkan mahukan jaminan keselamatan diberikan agar konflik tidak kembali berulang.
Langkah tersebut dilihat memberikan lonjakan positif kepada pasaran di Amerika Syarikat sehari selepas serangan udara besar-besaran ke atas Tehran dan Isfahan.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa menyatakan bahawa Israel akan meneruskan kempen ketenteraannya terhadap Tehran, dan menegaskan akan terus “menghancurkan kepimpinan Iran”.
“Kempen ini belum berakhir,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.
“Kami akan terus menghancurkan rejim keganasan itu”, tambahnya.
Kenyataan Netanyahu dibuat tidak lama selepas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengumumkan bahawa Iran mempunyai “keazaman yang diperlukan” untuk menamatkan perang dengan Israel dan Amerika Syarikat.
Namun, menuntut jaminan bahawa konflik tidak akan berulang.
Dalam ucapannya, yang disampaikan menjelang perayaan Paskah, Netanyahu berkata: “Kami terpaksa bertindak, dan kami telah bertindak.”
“Kami telah tetap teguh dalam misi kami dan telah mengubah wajah Asia Barat,” jelasnya. -AFP