Iran sedia sekat pencerobohan darat AS

Tehran telah menggerakkan lebih satu juta anggota tentera bagi menghadapi pencerobohan darat oleh AS./AFP

TEHRAN, 27 Mac – Komander Tentera Darat Iran, Brigedier Jeneral Ali Jahanshahi, memberi amaran bahawa sebarang percubaan melancarkan perang darat terhadap negara itu akan membawa kesan yang lebih berbahaya dan merugikan buat pihak musuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komander tentera Iran memberi amaran bahawa serangan darat terhadap negara itu akan membawa akibat lebih bahaya dan merugikan kepada pihak musuh.
  • Setiap wilayah kini dikawal ketat, pasukan sentiasa bersiap sedia untuk melumpuhkan dan menentang sebarang gerakan musuh.
  • Permohonan belia membanjiri pendaftaran Basij, IRGC dan Artesh; Trump mempertimbangkan penghantaran tambahan 10,000 tentera ke Asia Barat.

Amaran itu hadir ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan serangan darat terhadap Iran.

Jahanshahi menegaskan bahawa setiap wilayah Iran kini berada di bawah kawalan ketat tentera yang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang senario.

“Pasukan tentera Iran berdiri teguh di barisan hadapan pertahanan dan kami akan melumpuhkan sebarang gerakan musuh,” katanya.

Tehran dilaporkan telah menggerakkan lebih satu juta anggota tentera sebagai persediaan menghadapi potensi pencerobohan darat oleh AS.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, pusat pendaftaran pasukan Basij, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), dan Artesh (tentera tetap Iran) dilaporkan menerima limpahan permohonan daripada golongan belia yang mahu menyertai pertempuran sekiranya peperangan meletus.

Sementara itu, media melaporkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan penghantaran tambahan 10,000 anggota tentera darat ke Asia Barat bagi meluaskan pilihan ketenteraan di tengah-tengah rundingan yang sedang berlangsung dengan Iran. – REUTERS