
TEHRAN, 12 April – Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) telah menghampiri atau memasuki Selat Hormuz, sekali gus menyangkal kenyataan pihak AS berhubung pergerakan dua kapal perang mereka di laluan strategik itu.
- CENTCOM lapor dua kapal pemusnah AS melalui Selat Hormuz dan memulakan operasi pembersihan periuk api di Teluk.
- CENTCOM menyatakan misi lebih luas untuk pastikan Selat Hormuz bebas daripada ancaman periuk api dan akan kongsi laluan selamat.
- Iran menegaskan sebarang laluan kapal tertakluk di bawah bidang kuasa Angkatan Tentera Republik Islam Iran dan mengeluarkan amaran tegas.
- Penganalisis kata mustahil kapal perang melalui tanpa dikesan, dakwa AS guna peperangan elektronik dan penyamaran identiti; Iran menahan diri selepas gencatan senjata.
Menurut laporan agensi berita separa rasmi Fars, jurucakap markas tersebut, Ebrahim Zolfaghari, menegaskan dakwaan oleh Komander U.S. Central Command (CENTCOM), Brad Cooper mengenai kemasukan kapal AS ke Selat Hormuz adalah tidak benar sama sekali.
Beliau turut menegaskan sebarang laluan kapal di kawasan itu berada di bawah bidang kuasa Angkatan Tentera Republik Islam Iran.
Terdahulu, CENTCOM dalam satu kenyataan memaklumkan dua kapal pemusnah peluru berpandu berpandu milik Tentera Laut AS, USS Frank E. Peterson dan USS Michael Murphy, telah melalui laluan berkenaan serta memulakan operasi pembersihan periuk api di Teluk.
Dalam hantaran di platform X, CENTCOM menyatakan operasi itu adalah sebahagian daripada misi lebih luas bagi memastikan Selat Hormuz bebas daripada ancaman periuk api.
“Kami telah memulakan proses mewujudkan laluan baharu dan akan berkongsi laluan selamat ini dengan industri maritim tidak lama lagi bagi menggalakkan kelancaran perdagangan,” kata Cooper.
Sementara itu, penganalisis ketenteraan Iran, Nima Akbarkhani, memberitahu agensi Mehr bahawa adalah mustahil bagi kapal perang, walaupun paling canggih, untuk melalui Selat Hormuz tanpa dikesan.
Beliau mendakwa kapal perang AS cuba melaksanakan operasi berisiko tinggi menggunakan peperangan elektronik serta penyamaran identiti, namun pasukan tentera laut Iran bertindak menahan diri susulan gencatan senjata yang baru dicapai, selain mengeluarkan amaran tegas.
Perkembangan ini berlaku ketika delegasi Iran dan AS berada di Islamabad bagi rundingan meredakan ketegangan di Asia Barat selepas gencatan senjata dicapai awal minggu ini.-REUTERS