
TEHRAN, 1 Mac – Iran menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera bagi menghentikan apa yang disifatkan sebagai “penggunaan kekerasan haram” oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu.
- Iran tuntut PBB ambil tindakan segera hentikan apa yang digelar penggunaan kekerasan haram oleh AS dan Israel.
- Tegas hak mempertahankan diri menurut Artikel 51; ancam sasaran militan sah terhadap pangkalan dan aset bermusuhan.
- Desak mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan, kecam serangan, dan tuntut pihak bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
Dalam surat rasmi kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, serta Majlis Keselamatan PBB, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, berkata serangan dilancarkan pada Sabtu jelas melanggar kedaulatan serta integriti wilayah Iran.
Menurutnya, serangan tersebut menyasarkan kemudahan pertahanan dan kawasan awam di beberapa bandar Iran, sekali gus dianggap pelanggaran nyata Piagam PBB serta satu bentuk pencerobohan bersenjata terhadap negara itu.
Araghchi menegaskan Iran berhak menggunakan hak mempertahankan diri selaras Artikel 51 Piagam PBB, sambil menyatakan angkatan bersenjata negara akan menggunakan segala keupayaan pertahanan bagi menentang apa yang digelar sebagai “pencerobohan jenayah”.
Surat itu turut memberi amaran, semua pangkalan, kemudahan dan aset pihak yang dianggap bermusuhan di rantau berkenaan boleh menjadi sasaran ketenteraan sah dalam rangka tindakan mempertahankan diri Iran.
Beliau menambah Amerika Syarikat dan Israel perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap sebarang akibat, termasuk peningkatan ketegangan serantau susulan tindakan tersebut.
Iran turut menggesa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan segera bagi menghentikan penggunaan kekerasan serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan, selain menyeru semua negara anggota PBB mengecam serangan berkenaan.
Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran melaporkan sekurang-kurangnya 201 individu terbunuh dan 747 lagi cedera akibat serangan bersama AS-Israel, dengan sekurang-kurangnya 24 daripada 31 wilayah negara itu terjejas.-REUTERS