
JAKARTA, 21 Februari – Indonesia akan memegang jawatan Timbalan Komander Operasi dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, kata Menteri Luar Indonesia, Sugiono, pada Jumaat.
- Indonesia akan memegang jawatan Timbalan Komander Operasi dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza.
- Penugasan pasukan dilaksanakan secara berperingkat merangkumi kira-kira lima sektor dengan anggaran 20,000 anggota atau lebih.
- Sokongan antarabangsa termasuk komitmen dari lima negara, namun ada protes domestik terhadap penglibatan Indonesia.
Beliau berkata jawatan itu mencerminkan penghormatan dan pengiktirafan terhadap rekod prestasi serta reputasi anggota tentera Indonesia dalam pelbagai misi pengaman sebelum ini.
“Terdapat tiga Timbalan Komander, salah satunya Timbalan Komander Operasi. Memandangkan tentera Indonesia juga merupakan kontijen terbesar di sana, jawatan Timbalan Komander Operasi ini adalah satu bentuk penghormatan dan penghargaan terhadap rekod prestasi serta reputasi anggota tentera Indonesia dalam pelbagai misi pengaman,” katanya.
Sugiono berkata penugasan pasukan akan dilaksanakan secara berperingkat merangkumi kira-kira lima sektor, dengan jumlah keseluruhan anggota dianggarkan mencecah 20,000 orang atau lebih.
“Saya fikir ia akan dilaksanakan secara berperingkat kerana fasa di sana juga dibahagikan kepada beberapa sektor. Perinciannya belum dimuktamadkan, tetapi secara kasarnya terdapat lima sektor. Dianggarkan jumlah keseluruhan anggota yang akan ditempatkan sekitar 20,000 atau mungkin lebih, namun ia satu proses progresif,” katanya.
Menurut komander ISF, Mejar Jeneral Tentera Darat Jasper Jeffers, lima negara termasuk Indonesia telah memberi komitmen untuk menyumbang anggota kepada pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, sebahagian rakyat Indonesia yang bimbang terhadap penglibatan negara itu di Gaza mengadakan protes di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta minggu lalu. – REUTERS