
JAKARTA, 31 Mac – Kerajaan Indonesia mengekalkan harga bahan api bagi April, sambil memberi jaminan bekalan minyak mencukupi meskipun harga minyak global meningkat susulan konflik di Asia Barat.
- Perbincangan antara kerajaan dan Pertamina dijalankan selaras arahan Presiden Prabowo, menekankan kepentingan dan kebajikan rakyat.
- Ketua Dewan Perwakilan Rakyat menggesa orang ramai kekal tenang, elak pembelian panik; stok mencukupi dan kerajaan tumpu kestabilan bekalan serta harga.
- Harga bersubsidi ditetapkan: Pertalite Rp10,000 seliter, diesel bersubsidi Rp6,800 seliter; kos perbezaan ditanggung kerajaan, sementara bahan api bukan bersubsidi ikut pasaran.
Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara kerajaan dan syarikat minyak milik negara Pertamina selaras arahan Presiden Prabowo Subianto yang menekankan kepentingan rakyat.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api adalah mencukupi dan harga kekal tanpa sebarang perubahan harga,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Di Indonesia, pelarasan harga bahan api lazimnya dilakukan pada setiap awal bulan, sejajar dengan perubahan harga minyak global dan dasar subsidi kerajaan.
Sementara itu, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Sufmi Dasco Ahmad menggesa orang ramai supaya kekal tenang supaya tidak membuat pembelian panik.
“Masyarakat tidak perlu beratur panjang atau menyimpan bahan api secara berlebihan. Stok yang ada ketika ini adalah mencukupi dan kerajaan sedang memberi tumpuan penuh untuk mengekalkan kestabilan bekalan serta harga,” katanya.
Beliau berharap penjelasan ini dapat memberikan maklumat yang tepat kepada orang ramai serta mengelakkan penyebaran berita tidak sahih berkaitan kenaikan harga bahan api.
Beliau berkata kerajaan akan terus memantau dan memberi jaminan bahawa kebajikan rakyat akan terus dipelihara.
Di Indonesia, Pertalite (RON 90), bahan api bersubsidi, dijual pada harga tetap Rp10,000 seliter, manakala diesel bersubsidi (biosolar) dihadkan pada Rp6,800 seliter, dengan kerajaan menanggung perbezaan kos.
Sebaliknya, bahan api bukan bersubsidi ditetapkan harganya berdasarkan mekanisme pasaran, dengan Pertamax (RON 92) sekitar Rp12,300 seliter dan Pertamax Turbo (RON 98) sekitar Rp13,100 seliter untuk bulan Mac, tertakluk kepada pelarasan berkala selaras dengan harga minyak global, kadar pertukaran dan komponen kos lain.
— BERNAMA