Indonesia peroleh status pihak berkuasa tersenarai WHO bagi kawal selia vaksin

Foto REUTERS

JAKARTA, 2 Februari -Indonesia menjadi negara membangun pertama yang disenaraikan dalam Pihak Berkuasa Tersenarai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WLA) bagi fungsi kawal selia vaksin.

RINGKASAN BERITA AI
  • BPOM diiktiraf sebagai Pihak Berkuasa Tersenarai WHO bagi kawal selia vaksin.
  • Status WLA mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap standard kawal selia Indonesia.
  • Pengiktirafan hasil dasar konsisten, peningkatan sumber manusia dan tadbir urus telus.
  • BPOM digesa memastikan manfaat kesihatan awam nyata melalui kualiti, keselamatan dan ketersediaan vaksin.

Ketua Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia, Taruna Ikrar berkata status WLA yang diberikan pada Disember 2025 itu, meletakkan agensi berkenaan setanding dengan 38 pengawal selia dari negara maju yang telah mendapat pengiktirafan berkenaan.

Beliau berkata pengiktirafan itu mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap standard kawal selia Indonesia serta memperkukuh kedudukan BPOM dalam ekosistem vaksin global.

“Pengiktirafan global menerusi penetapan BPOM sebagai WLA ini tidak dicapai dalam masa semalaman.

Pengukuhan sistem kawal selia telah dibina melalui dasar yang konsisten, peningkatan sumber manusia, tadbir urus yang telus, serta komitmen berterusan terhadap penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Taruna menegaskan bahawa pengiktirafan itu perlu diterjemahkan kepada manfaat kesihatan awam secara langsung, terutamanya dalam memastikan kualiti, keselamatan dan ketersediaan vaksin.

“Saya perlu menekankan bahawa WLA bukanlah titik penamat, sebaliknya ia adalah titik permulaan kepada peluang yang lebih besar,” katanya. – BERNAMA