Indonesia peroleh kebenaran eksport ke China bagi 40 unit pemprosesan ikan

Foto hiasan/REUTERS

JAKARTA, 1 Februari -Indonesia berjaya memperoleh kelulusan eksport dari China bagi 40 Unit Pemprosesan Ikan (UPI) tambahan, sekali gus memperluas akses pasaran bagi produk perikanan negara itu, menurut Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • China meluluskan eksport bagi 40 Unit Pemprosesan Ikan tambahan, memperluas akses pasaran produk perikanan Indonesia.
  • Kelulusan diperoleh melalui perjanjian Pengiktirafan Bersama yang mengiktiraf sistem jaminan kualiti Indonesia.
  • Pelonggaran ini dijangka mempelbagaikan eksport menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Ketua Badan Pengendalian dan Pengawasan Mutu Hasil Marin dan Perikanan kementerian itu, Ishartini berkata kelulusan terbaharu itu adalah susulan perjanjian dua hala antara Indonesia dan China mengenai kesetaraan sistem jaminan kualiti produk perikanan di bawah Pengaturan Pengiktirafan Bersama (MRA).

Beliau berkata perjanjian itu membolehkan Indonesia melakukan rundingan bagi meyakinkan pihak berkuasa China untuk mengeluarkan nombor kelulusan baharu untuk UPI.

“Ini merupakan dorongan baharu bagi sektor perikanan Indonesia dan membuka peluang untuk mempelbagaikan produk eksport, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2026,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata Indonesia kini mengeksport 1,080 jenis komoditi perikanan ke China.

Pada 2025, jumlah eksport mencatatkan 491,528 tan metrik dengan nilai mencecah US$1.04 bilion.

Sepuluh komoditi eksport utama terdiri daripada sotong sejuk beku, rumpai laut Eucheuma cottonii, rumpai laut Gracilaria, ikan timah sejuk beku dan produk Eucheuma cottonii diproses. Produk utama lain termasuk rumpai laut Eucheuma cottonii kering, rumpai laut Gracilaria kering, Eucheuma spinosum, ikan jebong sejuk beku dan ikan gelama sejuk beku. – BERNAMA

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan