Indonesia panggil Google, Meta langgar undang-undang baharu

FOTO AFP

JAKARTA, 31 Mac – Indonesia memanggil Google dan Meta susulan kegagalan mematuhi undang-undang baharu yang melarang penggunaan media sosial bagi individu bawah 16 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menghantar notis rasmi dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat teknologi yang ingkar peraturan.
  • Undang-undang bertujuan melindungi kanak-kanak daripada pornografi, buli siber dan risiko ketagihan internet.
  • Kerajaan memberi amaran kepada platform lain; menggesa ibu bapa dan masyarakat memantau serta melaporkan pelanggaran; tiada kompromi.

Menteri Komunikasi, Meutya Hafid berkata, tindakan itu diambil sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan terhadap syarikat teknologi yang ingkar peraturan negara.

Menurutnya, kerajaan telah menghantar notis rasmi kepada kedua-dua syarikat berkenaan selepas didapati melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa hujung minggu lalu.

Meta yang memiliki Facebook, Instagram dan Threads, serta Google yang mengendalikan YouTube, didakwa tidak mematuhi peraturan sejak awal pelaksanaannya.

Larangan itu diperkenalkan bagi melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian termasuk pornografi, buli siber dan ketagihan internet.

Dalam masa sama, kerajaan turut memberi amaran kepada TikTok dan Roblox yang masih belum mematuhi sepenuhnya, namun menunjukkan usaha ke arah pematuhan.

Meutya menegaskan tiada kompromi dalam isu pematuhan undang-undang dan kerajaan akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan.

Indonesia yang mempunyai lebih 284 juta penduduk merupakan antara negara paling aktif menggunakan media sosial, termasuk kira-kira 70 juta pengguna bawah usia 16 tahun.

Beliau turut menggesa ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan dalam memantau pelaksanaan undang-undang itu serta melaporkan sebarang pelanggaran.-AFP