
JAKARTA, 9 Januari – Indonesia akan memegang jawatan Presiden Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) pada 2026, menandakan kali pertama negara itu menyandang jawatan berkenaan ketika majlis tersebut memperingati ulang tahun ke-20 penubuhannya.
- Indonesia akan memegang jawatan Presiden UNHRC pada 2026 sempena ulang tahun ke-20 majlis itu.
- Sidharto Reza Suryodipuro dinamakan sebagai Presiden UNHRC mewakili Indonesia di Geneva.
- Indonesia janji mempengerusikan sesi secara objektif, inklusif, seimbang dan telus.
- Fokus kepimpinan: bina keyakinan, perkukuh dialog rentas wilayah dan galakkan penglibatan konstruktif.
Sebagai presiden, Indonesia akan mempengerusikan semua sesi dan proses majlis sepanjang tahun secara objektif, inklusif dan seimbang, selaras dengan program kerja tahunan majlis serta isu-isu hak asasi manusia yang menjadi kepentingan bersama.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Indonesia memaklumkan, pelantikan itu disahkan secara rasmi pada mesyuarat UNHRC pada Khamis, yang diadakan serentak dengan mesyuarat organisasi pertama majlis itu bagi tahun 2026 di Geneva, Switzerland.
Menurut kementerian itu, jawatan Presiden UNHRC akan disandang oleh Timbalan Wakil Tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di Geneva, Sidharto Reza Suryodipuro.
“Indonesia komited melaksanakan tanggungjawab sebagai presiden UNHRC secara saksama, objektif dan telus.
“Kepimpinan Indonesia akan memberi keutamaan kepada pembinaan keyakinan, mengukuhkan dialog rentas wilayah dan menggalakkan penglibatan konstruktif semua pihak berkepentingan,” menurut kenyataan sama.
Majlis itu ditubuhkan pada 2006, dengan jawatan presiden digilirkan mengikut kelompok wilayah.
Setakat ini, Indonesia telah berkhidmat selama enam penggal sebagai anggota UNHRC dan dua kali diberi kepercayaan memegang jawatan naib presiden majlis berkenaan.-BERNAMA