
NEW DELHI, 13 Mac – India kini sedang giat mencari bahan api alternatif bagi mengurangkan tekanan terhadap bekalan gas memasak selepas laluan laut utama terjejas teruk akibat konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran.
- Kekurangan LPG memaksa restoran kecilkan menu, isi rumah berjimat atau beralih ke dapur elektrik.
- Banyak pengguna beli dari pengedar tidak sah pada harga dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi.
- Kerajaan laksanakan Akta Barangan Keperluan untuk utamakan jualan gas kepada isi rumah dan kenderaan.
- Kerajaan tingkatkan pengeluaran penapis, bekalkan minyak tanah, arang batu, longgarkan peraturan pelet biomas sementara.
Kekurangan bekalan gas petroleum cecair (LPG) tersebut telah memaksa banyak restoran mengecilkan menu makanan panas, manakala isi rumah pula mula berjimat cermat atau beralih kepada dapur elektrik.
Di Delhi, terdapat pemilik restoran yang hanya mampu menyediakan enam hidangan berbanding 24 menu biasa, selain kesukaran mendapatkan silinder gas baharu.
Situasi ini turut memaksa ramai pengguna membeli gas daripada pengedar tidak sah dengan harga dua hingga tiga kali ganda lebih mahal berbanding kadar rasmi 913 rupee (sekitar RM52) sesilinder.
Setiausaha Bersama Kementerian Petroleum dan Gas Asli, Sujata Sharma berkata, India bergantung kepada import bagi 60 peratus penggunaan LPG negara, di mana 90 peratus daripadanya dibawa melalui Selat Hormuz.
Jelas beliau dalam satu taklimat media pada Khamis, gangguan bekalan di rantau Teluk telah menjejaskan hantaran dan India kini sedang mencari laluan serta pembekal alternatif untuk menampung kekurangan tersebut.
Sebagai langkah kecemasan, kerajaan India telah menguatkuasakan Akta Barangan Keperluan pada 9 Mac bagi memberi keutamaan jualan gas kepada isi rumah dan kenderaan.
Sehari sebelum itu, kilang penapis dan syarikat petrokimia turut diarahkan untuk meningkatkan pengeluaran LPG.
Perdana Menteri, Narendra Modi dalam ucapannya pada Khamis turut menyentuh mengenai sektor tenaga negara yang berkembang pesat, dengan jumlah sambungan LPG meningkat kepada 330 juta dalam tempoh 12 tahun.
Bagaimanapun, pihak kerajaan mengakui keadaan semasa adalah mencabar dan memberi jaminan bekalan untuk pengguna domestik tetap diutamakan.
Kesan kekurangan ini juga mencetuskan pembelian panik dalam kalangan rakyat sehingga menyebabkan barisan panjang di agensi pengedaran gas.
Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap LPG, kerajaan kini mengaktifkan penggunaan bahan api lain termasuk membekalkan lebih banyak minyak tanah, arang batu dan minyak bahan api kepada negeri-negeri.
Malah, peraturan alam sekitar berkaitan penggunaan pelet biomas juga dilonggarkan sementara selama sebulan untuk sektor perhotelan dan restoran.
Langkah ini dilihat berbeza dengan kempen India sebelum ini yang mahu menghapuskan penggunaan minyak tanah dan kayu api.
Namun, sekiranya ketidaktentuan bekalan di Selat Hormuz berterusan akibat serangan ke atas kapal komersial, rakyat mungkin perlu menyesuaikan tabiat pemakanan dengan mengambil lebih banyak makanan sejuk berbanding hidangan panas atau bergoreng yang popular.-BERNAMA