Iftar terbesar himpunkan keluarga Palestin di Netzarim

Penduduk Palestin berbuka puasa pada Ramadan pertama di sebalik runtuhan bangunan musnah akibat serangan Israel di Gaza City/Foto REUTERS

GAZA, 22 Februari – Jawatankuasa Mesir di Gaza menganjurkan majlis iftar beramai-ramai terbesar melibatkan keluarga Palestin di Kem Pelarian 18, Netzarim sempena Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iftar beramai-ramai terbesar di Kem Pelarian 18, Netzarim dianjurkan oleh Jawatankuasa Mesir sempena Ramadan.
  • Ratusan penduduk berbuka di meja panjang merentasi kawasan kem dalam suasana kebersamaan.
  • Inisiatif bertujuan menyatukan komuniti yang terpisah akibat konflik berpanjangan.
  • Program sebahagian daripada inisiatif "Iftar untuk Sejuta Orang Berpuasa" bersama Bulan Sabit Merah Mesir.

Program itu menghimpunkan ratusan penduduk Palestin yang berbuka puasa di sepanjang meja panjang merentasi kawasan kem dalam suasana penuh kebersamaan.

Jurucakap Jawatankuasa Mesir, Mohammad Mansour berkata, ia merupakan iftar terbesar di seluruh Gaza yang diadakan di antara kem perlindungan terbesar di wilayah berkenaan.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan menyatukan komuniti yang terpisah akibat konflik berpanjangan.

Seorang penduduk yang dipindahkan, Umm Mohammed Abu Saqr berkata, majlis itu memberi peluang kepada mereka untuk kembali berinteraksi selepas bertahun-tahun hidup dalam keadaan terasing.

Seorang lagi penduduk, Huda menyifatkannya sebagai satu keberkatan yang mengembalikan rasa kebersamaan selepas melalui peperangan yang sukar.

Program berkenaan turut susulan pelancaran inisiatif “Iftar untuk Sejuta Orang Berpuasa” hasil kerjasama Jawatankuasa Mesir dan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai usaha kemanusiaan membantu penduduk Gaza sepanjang Ramadan. – VIORY