Hospital Al-Quds bedah jantung selepas dua tahun perang

Gambar hiasan

GAZA CITY, 25 Januari – Hospital Al-Quds di Gaza berjaya melaksanakan pembedahan jantung terbuka buat pertama kali selepas lebih dua tahun tidak beroperasi akibat konflik berterusan di wilayah itu, sekali gus memberi sinar harapan kepada pesakit yang sekian lama menunggu rawatan kritikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Pembedahan Jantung Hospital Al-Quds dibuka semula dan beberapa pembedahan berjaya dijalankan, memberi harapan kepada pesakit.
  • Dalam dua hari, tiga pembedahan dilaksanakan dan pesakit kini stabil serta dipindahkan ke wad pemulihan.
  • Pembedahan berjaya menggunakan teknik jantung berdenyut penting kerana kekurangan peralatan dan sekatan bekalan.

Menurut laporan AFP, Jabatan Pembedahan Jantung hospital berkenaan kembali dibuka minggu lalu dengan bantuan pasukan perubatan khusus, dan beberapa pembedahan jantung terbuka telah berjaya dijalankan dengan semua pesakit dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pakar Bius dan Rawatan Rapi Hospital Al-Quds, Nafeth Al Qarm berkata, sejak pembukaan semula jabatan itu, tiga pembedahan telah dilaksanakan dalam tempoh dua hari dan kesemuanya menunjukkan perkembangan positif.

“Semua pesakit telah keluar dari unit rawatan rapi dan kini berada di wad pemulihan. Dijangka dalam tempoh dua hari mereka dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Beliau berkata, pembukaan semula jabatan berkenaan merupakan keperluan mendesak berikutan peningkatan kes pesakit jantung yang mengalami komplikasi serius dan berisiko kehilangan nyawa akibat ketiadaan rawatan pembedahan sepanjang konflik.

Sementara itu, Pakar Bedah Jantung, Dr Kifah Ilwan menjelaskan, pembedahan terbaharu melibatkan empat pintasan arteri koronari menggunakan teknik jantung berdenyut tanpa menghentikan fungsi jantung atau menggunakan mesin jantung-paru tiruan.

Menurutnya, kaedah tersebut amat penting dalam situasi kekurangan peralatan perubatan, selain kekangan mendapatkan bekalan dan mesin pembedahan yang disekat di pintu masuk wilayah itu.

Hospital Al-Quds dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan sebelum ini terpaksa menghentikan operasi pembedahan jantung akibat kerosakan kemudahan serta sekatan bekalan perubatan susulan peperangan. – AFP