Hasina dipenjara 10 tahun atas pertuduhan rasuah

Sheikh Hasina melarikan diri ke India selepas digulingkan. Foto/AFP

DHAKA, 2 Februari – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas pertuduhan rasuah pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sheikh Hasina dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana rasuah berkaitan dua plot tanah di projek RAJUK.
  • Tulip Siddiq, anak saudara Hasina dan Ahli Parlimen Britain, dihukum penjara empat tahun dalam kes berkaitan.
  • Azmina dan Radwan Siddiq masing-masing dijatuhi hukuman tujuh tahun dalam salah satu kes berasingan.
  • Keputusan itu berlaku ketika pilihan raya parlimen pertama sejak kebangkitan 2024 dan larangan ke atas Parti Liga Awami.

Anak saudara perempuannya yang juga Ahli Parlimen Britain, Tulip Siddiq pula dijatuhi hukuman penjara empat tahun.

Ini selepas mahkamah mendapati mereka bersalah dalam dua kes berasingan berhubung salah laku dalam peruntukan dua plot tanah di bawah Projek Bandar Baharu RAJUK berhampiran Dhaka.

Hakim Robiul Alam daripada Mahkamah Khas Hakim-4 Dhaka turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun setiap seorang terhadap adik perempuan Tulip, Azmina Siddiq, dan abangnya, Radwan Mujib Siddiq dalam satu daripada kes berkenaan.

Keputusan itu diumumkan ketika kempen pilihan raya sedang rancak dilaksanakan yang juga pilihan raya parlimen pertama Bangladesh sejak Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India pada Ogos 2024.

Parti pimpinan Hasina, Liga Awami dilarang menyertai pilihan raya pada 12 Februari ini yang menyaksikan persaingan utama antara Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan gabungan pelbagai parti yang diterajui oleh Parti Rakyat Kebangsaan (NCP) serta Jamaat-e-Islami.

Hasina kini berdepan ratusan kes berkaitan kebangkitan besar-besaran pada 2024 yang menyaksikan 1,400 orang terkorban manakala ribuan lagi cedera.

Tahun lepas, Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan. BERNAMA

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan