Harga minyak dunia naik lagi

Harga minyak dunia melonjak lagi kepada AS$112 setong. – Foto REUTERS

NEW YORK, 28 Mac – Ketegangan geopolitik di Asia Barat yang membawa kepada pengetatan bekalan global terus melonjakkan harga minyak mentah dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Brent naik 4.2 peratus kepada AS$112.57 setong.
  • Kontrak WTI melonjak 5.5 peratus kepada AS$99.64 setong.
  • Trump melanjutkan tarikh akhir kepada Iran untuk membuka Selat Hormuz hingga 6 April.
  • Pasaran lemah; pelabur kurang percaya kenyataan Trump, Selat Hormuz dianggap tidak selamat, China mulakan siasatan perdagangan.

Harga minyak dengan penanda aras antarabangsa Brent naik 4.2 peratus kepada AS$112.57 setong.

Manakala kontrak penanda aras Amerika Syarikat, WTI, melonjak 5.5 peratus kepada AS$99.64 setong.

Penganalisis antarabangsa berkata, trend berkenaan dikaitkan dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melanjutkan tarikh akhir kepada Iran untuk membuka Selat Hormuz hingga 6 April.

Namun, ketegangan berterusan menyebabkan sentimen pasaran kekal lemah.

Penganalisis Forex.com, Fawad Razaqzada berkata, Trump kini dilihat semakin hilang pengaruh terhadap pasaran.

“Pelabur tidak lagi mengambil kenyataannya secara langsung, malah mereka mula berdagang bertentangan dengannya, menunggu bukti yang nyata sebelum bertindak balas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan di XTB, Kathleen Brooks berkata, pelabur berdepan realiti bahawa Selat Hormuz telah ditutup dan tidak kelihatan sebarang petanda jelas perang akan tamat.

“Hakikatnya, sentimen dijangka kekal negatif selagi Selat Hormuz tidak selamat untuk perkapalan dan dikawal oleh Iran,” katanya.

Menambah tekanan kepada pasaran, China pada Jumaat membuka siasatan terhadap amalan perdagangan Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap siasatan Washington ke atas eksport China.

Turut menyumbang, keraguan pelabur terhadap kemungkinan muncul perjanjian damai ketika pemerintah di seluruh dunia berusaha mengukuhkan ekonomi masing-masing yang berdepan kenaikan kos tenaga, yang turut meningkatkan tekanan inflasi. – AFP