
WASHINGTON, 24 Februari– Ribut musim sejuk yang kuat melanda Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) dengan salji tebal, manakala angin kencang menyebabkan hampir 6,500 penerbangan dibatalkan dan ditangguhkan pada Isnin, menurut portal FlightAware.com, lapor Sputnik/RIA Novosti.
- Salji tebal dan angin kencang melanda Pantai Timur, mencetuskan amaran cuaca untuk salji, angin dan banjir pesisir.
- Beberapa lapangan terbang utama New York dan Boston membatalkan hampir 90 peratus penerbangan akibat ribut.
- Lebih 550,000 pelanggan mengalami gangguan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
“Jumlah pembatalan penerbangan dalam, ke atau dari AS hari ini ialah 5,445,” menurut portal itu.
Sebanyak 911 lagi penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan, katanya.
Tiga lapangan terbang utama di kawasan Bandar Raya New York iaitu John F. Kennedy International Airport, LaGuardia Airport dan Newark Liberty International Airport terpaksa membatalkan hampir 90 peratus penerbangan.
Boston Logan International Airport pula membatalkan hampir 1,000 penerbangan atau kira-kira 90 peratus, menurut portal itu.
Portal PowerOutage.us melaporkan lebih 550,000 pelanggan terputus bekalan elektrik di Pantai Timur.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberi amaran yang ribut musim sejuk besar dijangka membawa salji lebat, angin kencang dan banjir pesisir di kawasan Mid-Atlantic dan Timur Laut, yang boleh menyebabkan perjalanan tergendala selain gangguan bekalan elektrik.- BERNAMA