Halang pengusiran rakyat Palestin di Baitulmaqdis

Gambar fail

RAMALLAH, 28 Mac – Kementerian Luar Palestin pada Jumaat mengecam peningkatan aktiviti pengusiran oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan pengusiran dan perobohan di Silwan dan Qalandiya mengancam kediaman keluarga Palestin.
  • Langkah ini bertujuan menjadikan Baitulmaqdis kawasan Yahudi dan mengubah komposisi demografi penduduk Palestin.
  • Kementerian Luar menyeru tekanan diplomatik dan kehadiran antarabangsa di lapangan untuk melindungi rakyat Palestin daripada pemindahan paksa.

Ia termasuk pengusiran 15 keluarga daripada kediaman mereka di kawasan Batn al-Hawa di Silwan dan perintah perobohan segera yang tidak boleh dirayu untuk tujuh rumah di bandar Qalandiya, baru-baru ini.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA melaporkan, kementerian itu menegaskan tindakan berkenaan memerlukan pendirian antarabangsa demi melindungi rakyat Palestin.

Kementerian itu menggariskan apa yang berlaku di Baitulmaqdis adalah sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan ia kawasan Yahudi dan menghalau penduduk Palestin.

Tindakan itu juga bertujuan mengubah komposisi demografi bandar itu dalam tempoh terdekat.

Dalam masa sama, lebih 200 keluarga Palestin di Baitulmaqdis Timur turut berdepan risiko pemindahan paksa dan pengusiran yang akan berlaku akibat tindakan undang-undang.

Mahkamah akan digunakan sebagai alat untuk mengukuhkan realiti yang menyalahi undang-undang dan tidak pernah berlaku sebelum ini dan untuk memberikannya legitimasi palsu di bandar.

Justeru, Kementerian Luar Palestin menyeru masyarakat, negara dan pertubuhan antarabangsa mengambil langkah tegas dan lebih jitu untuk menghalang pemindahan paksa terhadap rakyat Palestin daripada berterusan.

Tindakan tersebut termasuk mengaktifkan alat tekanan diplomatik dan mengukuhkan kehadiran antarabangsa di lapangan bagi memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin.