
WASHINGTON, 1 Februari -Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditahan bersama bapanya oleh ejen persekutuan daripada Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) akan dibebaskan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Sabtu memetik dokumen mahkamah.
- Hakim Texas mengarahkan pembebasan kanak-kanak lima tahun dan bapanya selewat-lewatnya Selasa.
- Penghakiman mengkritik tindakan kerajaan sebagai tidak dipertimbangkan dan dilaksanakan secara tidak cekap.
- Hakim berkata proses pengusiran perlu lebih teratur dan berperikemanusiaan.
- Insiden mencetuskan kemarahan umum dan menimbulkan kritikan terhadap dasar migrasi AS.
Seorang hakim di negeri Texas mengarahkan kedua-dua mereka dibebaskan selewat-lewatnya pada Selasa. Kes kanak-kanak itu, yang ditahan hampir dua minggu lalu dalam satu serbuan di Minneapolis, Minnesota, telah mencetuskan kemarahan meluas di seluruh AS.
Dalam penghakimannya, hakim itu menggunakan bahasa yang luar biasa keras dengan menyatakan bahawa “kes ini berpunca daripada tindakan kerajaan yang tidak dipertimbangkan dengan teliti dan dilaksanakan secara tidak cekap demi mengejar kuota penghantaran pulang harian, walaupun ia terpaksa mendatangkan trauma kepada kanak-kanak.”
Akhirnya, pempetisyen mungkin terpaksa kembali ke negara asal mereka secara paksa atau sukarela disebabkan sistem imigresen Amerika Syarikat yang rumit. Namun, keputusan itu seharusnya berlaku melalui dasar yang lebih teratur dan berperikemanusiaan berbanding apa yang dilaksanakan sekarang,” tulis hakim itu lagi.
Kritik menyifatkan insiden itu sebagai bukti lanjut betapa agresifnya tindakan ejen ICE di bawah dasar migrasi yang diperketatkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS sebelum ini menyatakan bahawa operasi itu menyasarkan bapa kanak-kanak terbabit yang dikatakan berasal dari Ecuador dan tinggal secara haram di AS.
Bagaimanapun, peguam yang mahir dengan kes seperti itu berkata keluarga berkenaan telah memohon suaka di pintu masuk sempadan rasmi pada Disember 2024 dan tiada perintah pengusiran dikeluarkan terhadap mereka. – BERNAMA