Gunung berapi Kilauea kembali meletus

FOTO AFP

LOS ANGELES, 13 Januari – Gunung berapi Kilauea di Hawaii kembali meletus selepas memuntahkan lava setinggi lebih 460 meter pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letusan Kilauea memuntahkan lava setinggi lebih 460 meter.
  • Letusan mengeluarkan asap dan gas sehingga enam kilometer ke udara.
  • Sehingga 100,000 tan sulfur dioksida dilepaskan, boleh menjejaskan sistem pernafasan.
  • Tiada ancaman kepada kawasan penempatan manusia, walaupun gunung tetap aktif dan tarikan pelancong.

Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), letusan terbaharu itu turut mengeluarkan kepulan asap dan gas sehingga enam kilometer ke udara.

USGS menjelaskan bahawa letusan berkenaan lazimnya berlaku selama satu hari.

Namun mampu menghamburkan sehingga 100,000 tan sulfur dioksida.

Gas tersebut kemudiannya bertindak balas di atmosfera dan membentuk kabus berasaskan sulfur yang boleh menjejaskan sistem pernafasan serta kesihatan penduduk.

Dalam masa sama, letusan itu turut menghamburkan ‘Rambut Pele’ (Pele hair) serpihan kaca gunung berapi yang halus tetapi tajam.

Ia dinamakan sempena dewi gunung berapi Hawaii, Pele. Ia boleh menyebabkan alahan pada kulit dan mata sekiranya terdedah dalam jumlah tinggi.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan bahawa letusan Kilauea tidak menimbulkan ancaman kepada mana-mana kawasan penempatan manusia.

Kilauea, yang pernah meletus berterusan sejak 1983, merupakan satu daripada enam gunung berapi aktif di Kepulauan Hawaii.

Meskipun lebih kecil berbanding Mauna Loa iaitu gunung berapi terbesar di dunia, Kilauea lebih aktif dan sering menjadi tarikan pelancong yang ingin menyaksikan aliran lava dari udara. – AFP

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan