
BARCELONA, 12 April – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bukan sekadar bertujuan memecahkan kepungan di Gaza, sebaliknya menjadi simbol penentangan terhadap kegagalan sistem global dalam menangani krisis kemanusiaan di Palestin.
- Misi melibatkan lebih 70 bot dan lebih 1,000 peserta, termasuk ratusan petugas kesihatan.
- Dilancar ketika ketidaktentuan geopolitik untuk mengelakkan konflik di Gaza menjadi lebih teruk.
- Menggesa perubahan struktur kuasa global yang membenarkan ketidakadilan dan penindasan terhadap rakyat Gaza.
- Menyeru negara besar, terutamanya wakil majoriti umat Islam, memainkan peranan lebih tegas membela hak Palestin.
Misi yang memulakan pelayaran hari ini, melibatkan lebih 70 bot dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dari lebih 70 negara termasuk ratusan petugas kesihatan.
Inisiatif tersebut dilancarkan ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik bagi mengelakkan konflik semakin memburuk di Gaza.
Chef de Mission Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman berkata, misi itu membawa mesej lebih besar untuk menggesa struktur kuasa dunia yang dilihat membiarkan ketidakadilan terus berlaku terhadap rakyat Gaza.
“Misi ini bukan sekadar pelayaran untuk memecahkan kepungan, tetapi untuk menggesa sistem global yang membenarkan penindasan ini berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang medi sempena pelepasan misi GSF 2.0 di Moll de la Fusta, di sini.
Nadhir yang pernah menetap di Gaza dari 2013 hingga 2023 berkata, kepungan yang bermula sejak 2007 telah menafikan hak asas penduduk termasuk akses kepada rawatan, pendidikan dan kebebasan bergerak.
Menurutnya, situasi kini semakin meruncing dengan ribuan pesakit masih menunggu untuk keluar mendapatkan rawatan, malah ada yang meninggal dunia ketika menunggu di sempadan.
Pada masa sama, beliau menyeru negara-negara besar khususnya yang mewakili majoriti umat Islam agar memainkan peranan lebih tegas dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Misi tersebut menjadi lambang solidariti antarabangsa serta gesaan untuk perubahan terhadap sistem global yang disifatkan berat sebelah dan gagal melindungi hak kemanusiaan.