GSF 2.0 gerakkan tekanan global, bukan sekadar misi bantuan

Tokoh media dan aktivis, Zainal Rashid Ahmad ditemu bual RTM sebelum berlepas menyertai misi GSF 2.0.

BARCELONA, 13 April – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bukan sekadar melibatkan penghantaran bantuan kemanusiaan, sebaliknya usaha strategik bagi meningkatkan tekanan antarabangsa untuk menamatkan kepungan di Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat pelancaran: sokong mobilisasi global menjelang perhimpunan Parlimen Eropah pada 22 April.
  • Gerakan sasar 60 bandar raya dan lebih 20 juta peserta untuk mendesak dua tuntutan utama.
  • Dua tuntutan utama: Israel berundur dan Rafah dibuka; batalkan hukuman mati terhadap ribuan tahanan Palestin.
  • Desakan buka Rafah tanpa sekatan untuk membenarkan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan setiap hari dan pembebasan tahanan termasuk Marwan Barghouti.

Tokoh media dan aktivis, Zainal Rashid Ahmad berkata, pelancaran awal misi kali ini bertujuan menyokong mobilisasi global menjelang perhimpunan Parlimen Eropah pada 22 April ini.

Menurut beliau, gerakan tersebut menyasarkan penyertaan daripada 60 bandar raya di seluruh dunia, melibatkan lebih 20 juta peserta, bagi mendesak dua tuntutan utama.

“Satu, mendesak Israel berundur sepenuhnya dari Gaza serta membuka pintu Rafah. Kedua, membatalkan hukuman mati terhadap lebih 10,000 tahanan Palestin yang dilabel sebagai pengganas di bawah undang-undang Israel,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum berlepas menyertai misi berkenaan di sini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan hanya kira-kira 600 peserta dipilih daripada lebih 11,000 permohonan untuk menyertai pelayaran tersebut.

Katanya, peserta turut menjalani latihan intensif yang merangkumi persediaan mental dan taktikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang misi.

“Kira-kira 10 peratus daripada peserta terdiri daripada individu berpengalaman termasuk yang pernah menyertai misi sehingga lapan kali. Latihan ini penting bagi memastikan semua peserta memahami situasi serta risiko yang bakal dihadapi,” jelasnya.

Mengulas kritikan terhadap misi berkenaan, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun semua pihak perlu bersatu dalam isu kemanusiaan di Gaza.

Menurutnya, antara perkara yang perlu disepakati termasuk keperluan membuka pintu Rafah tanpa sekatan bagi membolehkan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari.

Selain itu, hak rakyat Palestin untuk hidup tanpa serangan berterusan serta pembebasan tahanan termasuk tokoh seperti Marwan Barghouti, turut perlu diberi perhatian.

“Dalam soal Palestin, saya percaya tiada siapa yang akan bersetuju dengan apa yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin,” ujarnya.