Gencatan senjata 32 jam Rusia-Ukraine sempena Easter bermula

Anggota tentera Ukraine sedang bertugas yang dilindungi oleh jaring antidron di kawasan Druzhkivka, wilayah Donetsk pada 7 April lalu/AFP

MOSCOW, 12 April- Kementerian Pertahanan Rusia pada Sabtu mengumumkan bahawa gencatan senjata selama 32 jam dengan Ukraine mula berkuat kuasa pada pukul 4.00 petang waktu Moscow (1300 GMT), lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Putin umum gencatan 32 jam dan arahkan markas tentera bersiap sedia.
  • Putin beri amaran Moscow akan bertindak balas jika Ukraine melakukan provokasi.
  • Zelenskyy: Kyiv sertai, akan bertindak ikut prinsip tindak balas serupa; ketiadaan serangan bermakna tiada tindak balas.
  • Zelenskyy kata tentera bersedia; gencatan sempena Easter boleh jadi permulaan ke arah perdamaian dan pelanjutan telah dibincangkan.

Gencatan senjata itu diumumkan pada Khamis oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin yang mengarahkan markas pemerintah tentera untuk bersiap sedia bagi pelaksanaannya.

Putin turut memberi amaran bahawa sekiranya Ukraine melakukan sebarang provokasi, Moscow akan bertindak balas.

Beberapa jam sebelum gencatan senjata bermula, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata Kyiv akan menyertai inisiatif itu dan bertindak secara “tindak balas serupa”

“Ukraine akan mematuhi rejim bertenang ini dan akan bertindak mengikut prinsip tindak balas serupa secara ketat. Ketiadaan serangan Rusia di udara, darat dan laut bermakna tiada tindak balas daripada pihak kami,” katanya menerusi aplikasi Telegram.

Zelenskyy menegaskan bahawa tentera Ukraine bersiap sedia untuk menghadapi sebarang perkembangan di barisan hadapan.

“Ukraine telah berulang kali mencadangkan pelbagai format gencatan senjata kepada Rusia, dan kami percaya bahawa Easter harus menjadi waktu untuk bertenang dan selamat. Gencatan senjata sempena Easter juga boleh menjadi permulaan kepada langkah sebenar ke arah perdamaian – pihak kami telah mengemukakan cadangan berkaitan,” katanya.

Zelenskyy berkata beliau telah membincangkan prosedur untuk unit-unit tentera Ukraine sepanjang tempoh gencatan senjata itu bersama kepimpinan tentera negara berkenaan.

“Maklumat mengenai sifat tindakan kami yang serupa serta kemungkinan pelanjutan gencatan senjata melangkaui tempoh Easter juga telah disampaikan kepada pihak Rusia,” katanya. – BERNAMA-ANADOLU