Gelombang bantahan kembali memuncak di Iran

FOTO AFP

TEHRAN, 22 Februari – Sekumpulan pelajar Iran melaungkan slogan antikerajaan dan bertembung dengan penunjuk perasaan di beberapa universiti utama, dalam gelombang terbaharu kemarahan terhadap kepimpinan ulama negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gelombang protes baharu di universiti Tehran meneruskan kemarahan awam terhadap kepimpinan ulama.
  • Laporan kematian berbeza; pihak berkuasa cakap lebih 3,000, agensi HRANA catat lebih 7,000.
  • Ketegangan meningkat dengan pengukuhan ketenteraan AS dan rundingan nuklear yang sedang berjalan.

Rakaman yang disahkan di Universiti Teknologi Sharif menunjukkan pergaduhan tercetus ketika orang ramai melaungkan “bi sharaf” (memalukan).

Media tempatan turut melaporkan perhimpunan di beberapa kampus sekitar Tehran.

Protes terbaharu itu menyusul gerakan bantahan besar-besaran bulan lalu yang disusuli tindakan keras pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Iran mengakui lebih 3,000 kematian dilaporkan.

Namun, agensi berita hak asasi (HRANA) yang berpangkalan di AS, merekodkan lebih 7,000 kematian, majoritinya penunjuk perasaan.

Ketegangan dalaman itu berlaku ketika Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Tehran.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengancam tindakan ketenteraan dan kini memberi tempoh baharu kepada Iran untuk mencapai perjanjian berhubung program nuklearnya.

Washington telah menghantar kapal induk USS Abraham Lincoln bersama kapal sokongan ke rantau itu, manakala kumpulan kapal induk USS Gerald R. Ford sedang menuju ke Asia barat.

AS turut menambah aset pesawat tempur dan pertahanan udara darat.

Rundingan antara kedua-dua negara yang diadakan di Oman disambung semula baru-baru ini.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memaklumkan Tehran akan mengemukakan draf cadangan perjanjian dalam masa terdekat selepas rundingan di Geneva.

Bagaimanapun, Araghchi menafikan dakwaan bahawa AS menuntut “pengayaan sifar” uranium, bercanggah dengan kenyataan beberapa pegawai Amerika.

Iran menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman dan menafikan ia bertujuan menghasilkan senjata nuklear.

Situasi itu meningkatkan risiko ketegangan serantau, terutama selepas pusingan diplomasi tahun lalu tergendala susulan kempen pengeboman mengejut oleh Israel terhadap Iran sebelum gencatan senjata diumumkan. – AFP