Fasa kedua pelan keamanan Gaza fokus nyahketenteraan, pembinaan semula

Penduduk berlindung di hemah-khemah perlindungan di Gaza/ AFP

WASHINGTON, 15 Januari – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu mengumumkan pelancaran fasa kedua pelan keamanan Gaza, dengan tumpuan beralih daripada gencatan senjata kepada usaha nyahketenteraan, tadbir urus teknokratik dan pembinaan semula.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa kedua fokus pada nyahketenteraan, tadbir urus teknokratik dan pembinaan semula Gaza.
  • Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG) bagi mentadbir wilayah secara teknokratik.
  • Mesir, Qatar dan Turkiye membentuk jawatankuasa teknokratik Palestin sebagai pengantara utama.
  • Tujuan termasuk mengekalkan keselamatan, mencegah eskalasi dan memperbaiki keadaan kemanusiaan.

Utusan khas Presiden AS, Steve Witkoff, berkata pengumuman itu dibuat bagi pihak Presiden Trump dan merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Perkara untuk menamatkan konflik Gaza.

“Fasa kedua menetapkan penubuhan pentadbiran Palestin bersifat teknokratik di Gaza, dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG), selain memulakan proses nyahketenteraan dan pembinaan semula sepenuhnya, khususnya pelucutan senjata semua pihak yang tidak dibenarkan,” menurut Witkoff menerusi hantaran X.

Dalam perkembangan berkaitan, Mesir, Qatar dan Turkiye pada Rabu mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa teknokratik Palestin bagi mentadbir Gaza, menurut kenyataan bersama Kementerian Luar Mesir.

Ketiga-tiga negara pengantara itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai perkembangan penting ke arah meningkatkan kestabilan dan memperbaiki keadaan kemanusiaan di wilayah tersebut.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Ali Abdel Hamid Shaath, seorang jurutera berpengalaman dan bekas timbalan menteri perancangan Pihak Berkuasa Palestin.

Mereka turut menyuarakan harapan agar penubuhan jawatankuasa berkenaan membuka laluan kepada pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza selaras dengan pelan yang dicadangkan Amerika Syarikat, selain membantu mengekalkan keselamatan dan mencegah peningkatan semula konflik.

Pengumuman itu menyusul selepas satu pertemuan di Kaherah antara puak dan kekuatan politik Palestin yang menegaskan komitmen penuh untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata Gaza, serta menggesa rejim Zionis Israel menghentikan serangan dan membuka lintasan sempadan.

Delegasi pemimpin kanan Hamas yang diketuai Khalil al-Hayya tiba di Kaherah pada Selasa bagi mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Mesir berhubung pelaksanaan penuh gencatan senjata, peralihan kepada fasa kedua, pembentukan jawatankuasa pentadbiran bebas untuk Gaza serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari wilayah itu.

Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, perjanjian tersebut terus berdepan cabaran susulan tuduhan pelanggaran rejim Zionis yang terus menyasarkan wilayah Gaza dengan korban masih dilaporkan sejak ia berkuat kuasa.

Perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Mesir, Qatar, Turkiye dan Amerika Syarikat bermula pada 10 Oktober 2025 selepas dua tahun konflik. Namun, pihak berkuasa kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 449 orang terbunuh dan 1,246 cedera sejak gencatan senjata itu bermula.

Sejak 7 Oktober 2023, seramai 71,439 rakyat Palestin telah terkorban manakala 171,324 orang cedera. Wilayah itu turut dilanda kemusnahan meluas serta memburukkan keadaan kemanusiaan.- REUTERS