Fasa kedua pelan damai Gaza fokus tadbir urus baharu

Bangunan di tengah Gaza musnah akibat serangan rejim Zionis Israel/ AFP

BAITULMAQDIS, 16 Januari – Pelan yang disokong Amerika Syarikat bagi menamatkan perang di Gaza kini memasuki fasa kedua, meskipun gencatan senjata fasa pertama gagal dipatuhi rejim Zionis Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa kedua fokus pada pentadbiran semula Gaza melalui jawatankuasa teknokratik Palestin di bawah pengawasan Lembaga Keamanan.
  • Pelan tetap tidak menyelesaikan isu asas: kedaulatan, keselamatan, pengunduran tentera Israel dan garis masa jelas.
  • Kejayaan bergantung pada tekanan pengantara, pematuhan pihak berkenaan dan pelucutan senjata serta penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa.

Penubuhan sebuah jawatankuasa teknokratik Palestin yang diumumkan pada Rabu bertujuan mengurus pentadbiran harian Gaza pascaperang, namun langkah itu masih belum menyentuh persoalan asas berkaitan kedaulatan, keselamatan dan masa depan politik wilayah berkenaan.

Menerusi fasa pertama pelan itu, ia merupakan sebahagian daripada cadangan 20 perkara diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, bermula pada 10 Oktober lalu dengan matlamat utama menghentikan keganasan di Gaza, membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan serta memastikan kepulangan semua tebusan yang masih hidup dan yang terkorban.

Dalam tempoh sama, Israel terus melakukan pelanggaran gencatan senjata secara berulang, termasuk serangan udara, tembakan ke arah orang awam serta kemaraan tentera melintasi apa yang dikenali sebagai ‘Garis Kuning’, iaitu sempadan tidak rasmi yang memisahkan kawasan kawalan tentera Israel dengan wilayah di bawah pengaruh Hamas.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 451 rakyat Palestin terbunuh akibat tindakan tentera Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Agensi bantuan kemanusiaan antarabangsa menyatakan Israel gagal membenarkan kemasukan bantuan pada jumlah yang dijanjikan dalam fasa pertama.

Gaza, yang sempadan dan pintu masuknya masih berada bawah kawalan Israel, terus berdepan krisis kemanusiaan yang serius, termasuk kekurangan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan bahan api.

Israel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali berbeza pandangan mengenai jumlah sebenar lori bantuan yang dibenarkan memasuki wilayah Palestin itu.

Menerusi fasa kedua, Gaza akan ditadbir sebuah jawatankuasa teknokratik Palestin yang dianggotai 15 orang, bawah penyeliaan sebuah ‘Lembaga Keamanan’ yang akan dipengerusikan oleh Trump.

Trump mengumumkan pada Khamis bahawa Lembaga Keamanan itu telah dibentuk dan senarai ahlinya akan diumumkan “dalam masa terdekat”.

Pengantara Mesir, Türkiye dan Qatar memaklumkan Ali Shaath, bekas timbalan menteri dalam Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Ramallah, telah dilantik mengetuai jawatankuasa berkenaan.

Televisyen kerajaan Mesir kemudian melaporkan semua ahli jawatankuasa itu telah tiba di Mesir dan memulakan mesyuarat sebagai persediaan sebelum memasuki Gaza.

Saluran Al-Qahera News yang rapat dengan perkhidmatan risikan Mesir memaklumkan ketibaan tersebut susulan pengumuman utusan khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff, mengenai permulaan fasa kedua dan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat puak-puak Palestin di Kaherah.

Shaath, dalam satu temu bual baru-baru ini, menegaskan jawatankuasa berkenaan akan bergantung kepada kepakaran dan kebijaksanaan pentadbiran, bukan kekuatan senjata, serta tidak akan berkoordinasi dengan mana-mana kumpulan bersenjata.

Witkoff sebelum ini menyatakan fasa kedua menyasarkan “pelucutan senjata sepenuhnya dan pembinaan semula Gaza”, termasuk melucutkan senjata semua kumpulan bersenjata yang tidak dibenarkan.

Beliau turut memberi amaran bahawa Washington menjangkakan Hamas memenuhi baki komitmennya, termasuk pemulangan mayat Gvili.

Pelan itu juga mencadangkan penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi membantu menjamin keselamatan Gaza serta melatih pasukan polis Palestin yang telah ditapis.

Namun bagi rakyat Palestin, isu teras kekal berkaitan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza — satu langkah yang termaktub dalam kerangka pelan itu tetapi masih belum disertakan dengan sebarang garis masa yang jelas.

Dengan perbezaan asas terus wujud berhubung isu pelucutan senjata, pengunduran tentera dan tadbir urus, para diplomat berpandangan kejayaan fasa kedua amat bergantung kepada tekanan berterusan pengantara serta kesediaan — atau keupayaan — kedua-dua pihak untuk melangkaui garis merah yang telah lama menghalang keadilan dan keamanan berkekalan di Gaza.- AFP