
BRUSSELS, 31 Jan – Kesatuan Eropah (EU) akan menyediakan peruntukan sebanyak €63 juta (kira-kira US$74.85 juta) bagi membantu rakyat Myanmar, selepas lima tahun negara Asia Tenggara itu berada di bawah pentadbiran tentera, lapor agensi berita Jerman (dpa).
- EU peruntuk €63 juta untuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar dan pelarian Rohingya.
- €38.6 juta ditujukan untuk perlindungan, air bersih dan pemakanan kecemasan di Myanmar.
- €23.4 juta menyokong bantuan menyelamat nyawa bagi hampir 1.2 juta pelarian Rohingya di Bangladesh.
“Melalui pembiayaan baharu ini, rakan kongsi kemanusiaan akan terus menyediakan bantuan menyelamat nyawa, merangkumi makanan dan perlindungan kepada penjagaan kesihatan kecemasan serta pendidikan untuk kanak-kanak,” kata Pesuruhjaya EU bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaann dan Pengurusan Krisis, Hadja Lahbib.
EU sebelum ini telah memperuntukkan dana bagi Asia Selatan dan Asia Tenggara, dan kini sedang memperinci kaedah penggunaan dana berkenaan.
Sejumlah €38.6 juta (US$45.9 juta) akan digunakan di Myanmar untuk kemudahan perlindungan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal, akses kepada air bersih dan pemakanan kecemasan.
Baki €23.4 juta (US$27.8 juta) pula bertujuan menyokong bantuan menyelamat nyawa bagi hampir 1.2 juta pelarian Rohingya di Bangladesh.
Lebih 700,000 orang telah melarikan diri ke negara jiran Bangladesh sejak 2017, susulan tindakan ketenteraan terhadap etnik Rohingya yang merupakan minoriti Islam di negara itu.
Pada Januari, perbicaraan bermula di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague berhubung dakwaan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, namun dinafikan oleh pihak Myanmar.
Minggu lepas, satu kejadian kebakaran telah memusnahkan ratusan tempat perlindungan di kem pelarian Rohingya yang sesak di Bangladesh.
Tentera Myanmar mengambil alih kuasa pada 1 Feb 2021 selepas menggulingkan ketua kerajaan de facto yang dipilih secara demokrasi, Aung San Suu Kyi.
Kumpulan penentang dan pemberontak telah mengangkat senjata di beberapa bahagian di negara itu ketika pertempuran masih berterusan.
Sehingga kini, lebih 16 juta penduduk di Myanmar bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan. – BERNAMA